Kertas putih dasar gaji progresif akan dibentang di Dewan Rakyat

Rafizi berucap pada sesi penggulungan di peringkat Kementerian Ekonomi ketika Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 semasa Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Rafizi berucap pada sesi penggulungan di peringkat Kementerian Ekonomi ketika Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 semasa Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membentangkan kertas putih cadangan pelaksanaan dasar gaji progresif dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, mekanisme pelaksanaan tersebut juga akan diterangkan dengan lebih jelas bagi mendapat penglibatan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan, bukan sahaja Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi juga rakyat dan majikan.

"Ini adalah satu perkara yang betul-betul mencabar dan kita perlu rancang dengan teratur supaya kita boleh mula bangunkan satu kerangka dasar gaji yang membantu kita untuk mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja untuk mencapai 45 peratus dari KDNK (keluaran dalam negara kasar) dalam tempoh 10 tahun.

"Kita sekarang ini berada pada 32 peratus sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan tidak campur tangan dan dasar tersebut tidak dilaksanakan, dibimbangi rakyat tidak dapat menikmati limpahan ekonomi.

"Kalau kita tidak ada campur tangan dan dasar seperti ini, kebimbangan saya ekonomi berkembang dari satu tahun ke satu tahun tetapi jumlah daripada ekonomi itu yang pergi kepada pekerja dan keluarga itu semakin mengecil peratusnya, kerana itu yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan sasaran 45 peratus untuk kita capai dalam tempoh 10 tahun, dan insya-ALLAH salah satu kaedah utama ke arah itu ialah dengan melaksanakan dasar gaji progresif,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!