34,216 kes kecederaan pekerjaan direkod pada 2022

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 34,216 kes kecederaan pekerjaan direkodkan di Malaysia pada 2022 dengan 312 daripadanya adalah kes maut, demikian menurut Statistik Kemalangan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2022.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan turut menunjukkan statistik kadar kecederaan pekerjaan di Malaysia pada 2022 adalah 2.22 bagi setiap 1,000 pekerja berbanding sasaran tidak melebihi 2.42.

"Kadar kecederaan maut pekerjaan pula adalah 2.06 setiap 100,000 pada 2022 berbanding sasaran tidak melebihi 3.38 yang ditetapkan di dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25)," menurut KSM dalam kenyataan itu.

Berbanding tempoh sedekad yang lalu, kadar kecederaan pekerjaan pada 2022 menurun 33 peratus berbanding 3.31 setiap 1,000 pekerja pada 2012, manakala kadar kecederaan maut pekerjaan pada 2022 berkurang sebanyak 56 peratus berbanding 4.64 setiap 100,000 pekerja pada 2012

Dalam aspek kesihatan pekerjaan, KSM memaklumkan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menerima 10,707 pelaporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 2020.

"Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, sebanyak 7,143 kes telah disahkan sebagai penyakit pekerjaan pada 2022," katanya.

Menurut KSM, peningkatan kesedaran berkaitan pelaporan penyakit pekerjaan antara lain disumbangkan oleh peningkatan bilangan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) yang aktif di Malaysia iaitu daripada 656 pada 2012 kepada 1,112 pada 2022.

Kadar kecederaan pekerjaan, kadar kecederaan maut dan jumlah pelaporan penyakit pekerjaan merupakan tiga indikator utama yang menunjukkan pencapaian tahap pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia yang dinyatakan di bawah OSHMP25.

Artikel Berkaitan:

Statistik berkenaan dijana berdasarkan analisis komprehensif daripada data kemalangan pekerjaan di sektor awam dan swasta yang diperoleh daripada empat agensi sumber yang relevan iaitu JKKP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), data Skim Ex-Gratia Bencana Kerja daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kewangan. - Bernama