Kerjasama erat elemen utama hadapi ancaman keselamatan kesihatan

Sultan Nazrin Shah (dua dari kanan) berkenan mendengar penerangan daripada Pengarah ZOLL Medical Corporation, an Asahi Kasei Group Company, Dane Davis (kanan) ketika melawat pameran pada majlis pembukaan Persidangan Indo-Pacific Military Health Exchange (IPMHE 2023) di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah (dua dari kanan) berkenan mendengar penerangan daripada Pengarah ZOLL Medical Corporation, an Asahi Kasei Group Company, Dane Davis (kanan) ketika melawat pameran pada majlis pembukaan Persidangan Indo-Pacific Military Health Exchange (IPMHE 2023) di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyeru mereka yang terlibat dalam bidang penjagaan kesihatan ketenteraan agar menjalin kerjasama yang lebih baik di dalam dan di peringkat global untuk bertindak balas terhadap ancaman keselamatan kesihatan semasa.

Sultan Nazrin bertitah, penyebaran penyakit berjangkit yang tidak terkawal merentasi sempadan, termasuk wabak Covid, malangnya bukan satu-satunya ancaman keselamatan berkaitan kesihatan yang dihadapi dunia.

"Kejadian buruk berkaitan iklim yang semakin meningkat seperti banjir, kebakaran, taufan, tanah runtuh dan ribut, membentuk satu lagi ancaman keselamatan bukan tradisional yang berkaitan dengan kesihatan.

"Pasukan tentera dan operasi penjagaan kesihatan mereka semakin diperlukan dalam konteks ini, kedua-duanya untuk bertindak balas terhadap kecemasan serta-merta dan akibatnya, dan untuk menyumbang kepada pencegahan dan kesiapsiagaan, serta untuk membina daya tahan,” titah baginda dalam ucaptamanya di Persidangan Indo-Pacific Military Health Exchange (IPMHE 2023) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Sultan Nazrin yang juga Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia bertitah dengan bekerjasama, termasuk melalui forum seperti acara IPMHE, kor kesihatan perubatan boleh menyumbang dari perspektif mereka sendiri kepada usaha kolektif yang lebih luas yang sangat diperlukan.

Selaras dengan tema acara itu ‘Mencapai Penyelesaian Kesihatan Melalui Kepelbagaian dan Keterangkuman’, baginda bertitah, melalui keterangkuman dan kepelbagaian itulah mereka dapat membangunkan penyelesaian yang optimum kepada pelbagai cabaran yang sukar.

"Pendekatan inklusif seperti itu membuahkan hasil di peringkat domestik serta seperti yang kita lihat dengan jelas semasa pandemik itu. Kor Perubatan di sini dan di seluruh dunia memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong dan melengkapkan usaha awam.

Artikel Berkaitan:

"Peranan kemanusiaan ini hanya akan berkembang apabila kecemasan seperti itu meningkat pada tahun-tahun dan dekad akan datang. Jadi kita mesti terus memperkukuh keupayaan kita untuk bertindak balas secara berkesan kepada mereka, melalui kerjasama yang lebih besar dan melalui tindakan kolektif,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah operasi penjagaan kesihatan ketenteraan juga mesti kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi, yang akan membolehkan potensi kesan positif teknologi ini dimaksimumkan, manakala yang negatif dikawal.

Tambahan pula, risiko kewujudan yang ditimbulkan oleh kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) generatif, ancaman keselamatan kesihatan global dibawa oleh wabak dan peningkatan kejadian buruk iklim, titah baginda.

"Bukan sahaja semua isu ini perlu dihadapi secara kolektif, tetapi pendekatan kolaboratif sedemikian diperlukan pada masa peralihan dan dinamik geopolitik yang tidak menentu yang mewujudkan kekangan tambahan kepada tindakan kolektif yang berkesan.

"Bagaimanapun, beta yakin penjagaan kesihatan ketenteraan adalah satu bidang di mana kita mungkin dapat mengatasi kekangan tersebut,” titah Sultan Nazrin.

IPMHE 2023 yang berlangsung empat hari bermula hari ini adalah siri keenam yang dihoskan bersama oleh Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan United States Indo-Pacific Command (US INDOPACOM). Malaysia pernah menjadi tuan rumah acara yang sama pada 2016 di Kuantan, Pahang.

IPMHE yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 24 negara antaranya Australia, Bangladesh, Brunei, Kanada, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Jordan, Malaysia, Maldives dan Mongolia, untuk bertukar-tukar pendapat serta berkongsi isu antaranya melibatkan perubatan ketenteraan, bantuan kemanusiaan dan bencana, keselamatan kesihatan dan penyakit berjangkit.

Secara keseluruhan, program saintifik persidangan kali ini akan membentangkan sebanyak empat ceramah, tiga plenari, 12 simposium, dua forum, dua bengkel dan 74 pembentangan.

Perbincangan dua hala dalam pelbagai bidang terutamanya perubatan dan kesihatan ketenteraan antara ketua-ketua delegasi dari negara peserta juga akan turut diadakan selain lawatan ke Hospital Medan ATM sempena Eksesais Starlight 2023 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 28 September ini. - Bernama