Sultan Nazrin berkenan hadir sambutan Maulidur Rasul

Sultan Nazrin (tengah) berkenan mengurniakan anugerah kepada semua penerima pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, Ipoh pada Khamis.
Sultan Nazrin (tengah) berkenan mengurniakan anugerah kepada semua penerima pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin serta barisan Exco kerajaan negeri.

Lebih 2,000 hadirin diperdengarkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan berselawat beramai-ramai pada sambutan bertemakan 'Rasulullah SAW: Mengungguli Peradaban Umat'.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada suri rumah, Kasanah Mukkeri, 79.

Ibu kepada lapan anak itu menerima kurniaan wang tunai RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Amar Arif Ahmad Po'aad, 32, manakala Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) pula diberikan kepada Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, 59.

Artikel Berkaitan:

Anugerah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) diterima oleh Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) Taiping.

Anugerah Tokoh Imam pula diterima pesara guru, Zainall Abidin Zulkifli, 72, yang berkhidmat di Masjid Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu.

Bagi Anugerah Tokoh Bilal diterima oleh Hamzah Ramli, 70, yang bertugas di Masjid Nurul Hidayah, Manjung manakala Tokoh Siak diberikan kepada Muhammad Noor Abd Yaseh, 81, yang berkhidmat di Masjid Al-Makmur, Sungai Galah, Tanjung Tualang.

Masing-masing dikurniakan RM3,000, plak dan sijil penghargaan.