'Air naik cepat, tak sempat selamatkan barang'

Mohd Azhan (kiri) bersama isterinya pulang untuk memeriksan keadaan rumah mereka di Kampung Nangmah, Changlun pada Selasa.
Mohd Azhan (kiri) bersama isterinya pulang untuk memeriksan keadaan rumah mereka di Kampung Nangmah, Changlun pada Selasa.
A
A
A

CHANGLUN - Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun pada malam Isnin tidak sempat menyelamatkan barangan rumah kerana air naik dengan begitu cepat.

Mohd Azhan Mahtar, 35, berkata, ketika kejadian dia hanya sempat memikirkan untuk membawa keluar isteri dan seorang anak berusia lima tahun untuk menyelamatkan diri terlebih dahulu.

Menurutnya yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran, dia kembali ke rumah pada pagi Selasa untuk memeriksa kembali keadaan rumahnya selain mengambil dokumen penting.

"Saya tidak sempat fikir barang-barang dalam rumah sebab fikirkan keselamatan keluarga terlebih dahulu. Bila balik ke rumah tengok banyak barang sudah ditenggelami air dan tidak dapat diselamatkan sebab paras air terus meningkat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nangmah, dekat sini pada Selasa.

Jelas Azhan, air Sungai Temin naik dengan cepat sehingga melimpah memasuki kediaman penduduk sebelum diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS SMK Changlun sejauh 1.5 kilometer daripada rumahnya.

Harisun Salleh
Harisun Salleh

Seorang lagi penduduk, Harisun Salleh, 67, berkata, air mula memasuki rumahnya pada jam 7 pagi pada Selasa.

Dia yang tinggal bersama anak lelakinya, Wan Haryani Wan Yahya, 40, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kemudiannya mengangkat barang-barang penting ke tempat selamat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau air naik lagi memang kena pindah lah jika diminta oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), nak buat macam mana.

"Hujan tak berhenti banyak hari dah dan saya tak jangka naik macam ini. Biasanya kalau semua orang dalam kampung ini pindah sebab banjir tapi rumah saya tak masuk lagi air tapi kali ini air banjir dah masuk," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, setakat jam 12 tengah hari, jumlah bilangan mangsa yang dipindahkan ke PPS SMK Changlun, meningkat kepada 123 mangsa daripada 36 keluarga.

Menurutnya, jumlah itu meningkatkan berbanding 61 mangsa daripada 18 keluarga yang dilaporkan pada jam 8 pagi pada Selasa.