Warga asing pandu bas kilang tanpa lesen, 'roadtax' mati

Sebuah bas yang dipandu warga asing disita JPJ Selangor menerusi Op Kenderaan Perkhidmatan Awam di Lebuhraya Persekutuan pada Ahad.
Sebuah bas yang dipandu warga asing disita JPJ Selangor menerusi Op Kenderaan Perkhidmatan Awam di Lebuhraya Persekutuan pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah bas kilang yang dipandu warga asing tiada lesen memandu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa operasi di Kilometer 10.2 Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam, di sini pada Ahad.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor Mazlini Yusof itu dijalankan bermula jam 4 petang.

Menurutnya, operasi selama dua jam itu telah bertindak mengeluarkan 63 saman atas pelbagai kesalahan antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan isu teknikal.

JPJ Selangor turut memeriksa tayar semasa Op Kenderaan Perkhidmatan Awam di Lebuhraya Persekutuan, pada Ahad.
JPJ Selangor turut memeriksa tayar semasa Op Kenderaan Perkhidmatan Awam di Lebuhraya Persekutuan, pada Ahad.

"Sebuah bas telah disita kerana dipandu lelaki warga India berusia 31 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.

"Ketika ditahan, bas yang didapati LKM tamat tempoh itu sedang membawa dua penumpang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, tujuan penguatkuasaan ini diadakan bagi memastikan pemandu yang membawa kenderaan perkhidmatan awam mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Katanya, penguatkuasaan secara berterusan akan diadakan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu yang ingkar peraturan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.