JPJ sita 422 motosikal, kereta diguna warga asing

Nazili (kanan) menunjukkan sebahagian daripada motosikal yang disita semasa Operasi Khas Motosikal di seluruh Kelantan bermula 1 September hingga Rabu.
Nazili (kanan) menunjukkan sebahagian daripada motosikal yang disita semasa Operasi Khas Motosikal di seluruh Kelantan bermula 1 September hingga Rabu.
A
A
A

MACHANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 422 buah motosikal dan kereta yang digunakan oleh warga asing menerusi Operasi Khas Motosikal diseluruh negeri ini bermula 1 September hingga Rabu.

Timbalan Pengarahnya, Nazili Kadir berkata, daripada jumlah tersebut motosikal menjadi kenderaan yang paling banyak disita oleh JPJ sepanjang operasi itu.

"Kebanyakan kenderaan ini digunakan oleh etnik Rohingya. Kita mengambil serius perkara ini dengan melaksanakan operasi secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada Operasi Khas Motosikal JPJ Kelantan di Stesen Timbang JPJ Machang, Labok di sini pada Rabu malam.

Bagaimanapun, menurutnya, penggunaan kenderaan dalam kalangan warga asing di negeri ini secara tidak sah masih lagi terkawal.

Ujarnya, JPJ mengingatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol memberi sewa kenderaan kepada warga asing dengan tujuan mengaut keuntungan.

Nazili memberitahu, tindakan itu boleh menyebabkan pemilik asal kenderaan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen sah sekiranya terlibat dengan kemalangan akan menyukarkan proses tuntutan insuran.

"Kebanyakan mereka (warga asing) tidak memahami undang-undang serta membahayakan pengguna jalan raya lain bila memandu tanpa lesen," katanya.

Menurut Nazili, sepanjang operasi itu sebanyak 14,163 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ Kelantan.

Ujar beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,015 keping saman telah dikeluarkan individu yang didapati melakukan kesalahan.