Berumah dalam kereta, 90 peratus gaji bayar hutang RM1 juta

Ariff berkongsi kehidupannya berumah di dalam kereta sejak setahun lalu di media sosial.
Ariff berkongsi kehidupannya berumah di dalam kereta sejak setahun lalu di media sosial.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bukan hanya terpaksa berumah dalam kereta sejak setahun lalu malah 90 peratus gajinya digunakan bagi membayar hutang.

Situasi itu dihadapi Ariff Luqman Peter Lisut, 27, yang terpaksa menanggung bebanan hutang RM1 juta selepas terpengaruh dengan pelaburan wang digital pada 2019.

Anak kelahiran Sarawak itu berkata, pelaburan itu diketahui daripada bapanya apabila sebuah syarikat sedang mencari orang untuk dijadikan duta produk tersebut.

Menurutnya, pada mulanya pelaburan itu membawa pulangan lumayan sebelum berdepan masalah setahun lalu yang menyebabkan kehidupan mewah berubah sekelip mata.

"Saya terpaksa jual semua aset yang ada untuk bayar hutang. Saya buat pelbagai kerja untuk bayar hutang tersebut sedikit demi sedikit dan kini berbaki RM100,000 lagi.

"Dengan kerja tetap sebagai ketua pemasaran syarikat perunding kewangan, gaji RM6,000 itu saya gunakan 90 peratus untuk bayar hutang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ariff Luqman sebelum ini berkongsi mengenai kehidupan yang terpaksa tidur di dalam kereta selepas tidak mampu menyewa rumah selepas dibebani hutang.

Ariff Luqman berkata, dia tidak sekadar bergantung kepada pekerjaan tetap sebaliknya turut melakukan kerja sampingan termasuk perkhidmatan pembersihan, upah poster dan pemasaran bagi menambah sumber kewangan bagi mempercepatkan melangsaikan hutang tersebut.

Dia meletakkan sasaran untuk melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin bagi membolehkannya memulakan kehidupan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Bukan saya sombong kerana tidak mahu pertolongan atau sumbangan tapi sebagai lelaki yang sihat dan selagi ada kudrat saya mahu berusaha sendiri.

"Ada juga yang mahu bantu sedia rumah atau bilik sewa tapi saya tolak dengan cara baik kerana lebih selesa tidur di dalam kereta bagi memudahkan saya ke tempat kerja dan melakukan kerja sampingan," katanya.

Ujarnya, Proton Wira yang digunakan itu merupakan kereta pertama yang dibeli dan banyak berjasa kepadanya.

"Sebelum ini ada gunakan kereta import lain namun telah jual untuk langsai hutang. Walaupun ada yang pandang negatif terhadap saya namun bersyukur ramai juga yang memberikan sokongan positif terhadap saya selepas kisah hidup saya tular.

"Ketika mula-mula jatuh memang ada rasa tertekan tapi kini semakin reda dan fokus saya hanya mahu selesaikan hutang kemudian barulah saya lega," katanya.

Ariff berkata, nasib menimpanya itu dianggap pengalaman berharga dalam hidup yang mematangkan dan menjadikannya semakin kuat menempuhi cabaran.

"Pesan saya kepada orang luar khususnya anak muda supaya jangan mudah percaya orang, kena siasat dan berhati-hati untuk elak ditipu.

"Kedua, jangan pernah ambil jalan mudah. Setiap perkara yang mahu dilakukan ada tertib dan perlu terima kesan dalam setiap pilihan yang kita buat," katanya.