Kumpulan Sunway sumbang mesin ATM beras

Ahila (tiga dari kiri) dan Dr Afif (dua dari kanan) bergambar bersama selepas majlis penyerahan mesin ATM beras yang diadakan petang semalam.
Ahila (tiga dari kiri) dan Dr Afif (dua dari kanan) bergambar bersama selepas majlis penyerahan mesin ATM beras yang diadakan petang semalam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Masjid Daerah Seberang Perai Tengah menjadi lokasi pertama yang dipilih oleh Kumpulan Sunway bagi menerima sumbangan mesin ATM beras untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Pengurus Besar Sunway Property Penang, Ahila Ganesan berkata, mesin ATM beras berkenaan yang mempunyai dua fungsi iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti yang ditetapkan selain mempunyai tabung khas untuk orang ramai menderma bagi mengisi bekalan beras di dalam mesin berkenaan.

Menurutnya, bersempena dengan bulan Ramadan yang diraikan umat Islam kali ini, pihaknya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu masyarakat terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan B40 di negara ini.

"Untuk tahun ini kita akan menyumbangkan sebanyak lapan buah mesin ATM ini berserta 6,000kg beras di lokasi terpilih dan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah menjadi lokasi pertama untuk kita tempatkan mesin ATM ini.

"Terpulang kepada pihak masjid untuk menentukan kadar beras yang akan diberikan kepada golongan asnaf dan mereka yang layak menerima dan menggunakan mesin ATM ini," katanya pada majlis penyerahan mesin ATM beras yang diadakan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, petang semalam.

Hadir menerima sumbangan mesin ATM itu, ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Ahila berkata, selepas Aidilfitri nanti, pihaknya akan memberikan sebuah lagi mesin ATM beras yang akan dipasang di pejabat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pertama di Permatang Pauh untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasan terbabit.

Selain menyumbangkan mesin ATM beras, Ahila berkata, Kumpulan Sunway turut menjalankan beberapa aktiviti kebajikan lain seperti program memasak dan mengedarkan bubur lambuk, program bantuan baju raya kepada kanak-kanak, majlis berbuka puasa bersama keluarga miskin dan banyak lagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lebih 11,000 orang yang akan menerima manfaat daripada program CSR yang akan dilakukan oleh Kumpulan Sunway dalam program yang akan diadakan di seluruh negara.