Rusia didakwa seksa tahanan Ukraine dengan kejam

Erik Mose (kiri) bercakap kepada media mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB berhubung Ukraine kepada Majlis Hak Asasi Manusia di ibu pejabat PBB di Geneva, Switzerland. - Foto AP
Erik Mose (kiri) bercakap kepada media mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB berhubung Ukraine kepada Majlis Hak Asasi Manusia di ibu pejabat PBB di Geneva, Switzerland. - Foto AP
A
A
A

RUSIA didakwa menyeksa rakyat dan tahanan dari Ukraine dengan kejam sehingga menyebabkan beberapa individu maut.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Ukraine, Erik Mose pada Isnin, pihaknya mempunyai bukti bagi menyokong dakwaan itu dan memaklumkannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Ujar Mose, pasukan risikannya mengumpul bukti kukuh yang menunjukkan terdapat penyeksaan oleh pasukan bersenjata Rusia di kawasan tahanan yang berada di bawah kawalannya.

"Pihak kami juga menumpukan siasatan ke atas pelanggaran terhadap integriti peribadi di kawasan-kawasan yang jatuh di bawah Rusia untuk tempoh yang berpanjangan, iaitu di Kherson dan Zaporizhzhia.

"Kami telah mengumpul bukti lanjut yang menunjukkan bahawa penggunaan penyeksaan oleh pasukan bersenjata Rusia di kawasan yang berada di bawah kawalannya adalah meluas dan sistematik.

"Mangsa utama penyeksaan adalah individu yang dituduh sebagai pemberi maklumat bagi tentera bersenjata Ukraine.

"Kami mendapati bahawa penyeksaan kebanyakannya berlaku di pusat-pusat tahanan yang dikawal oleh pihak berkuasa Rusia," katanya.

Rusia bagaimanapun, menafikan melakukan kekejaman di Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Mose berkata, Moscow sehingga kini tidak memberi sebarang kenyataan balas berkenaan dakwaan itu apabila dihubungi pihaknya.

Moscow juga diberikan peluang untuk menjawab tuduhan tersebut dalam pertemuan di Geneva, namun tiada wakil Rusia yang hadir. - Awani