Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NILAI ringgit tinggi sedikit pada berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga pagi ini di tengah-tengah sentimen lemah mata wang Asia yang lain serta kebimbangan pelabur terhadap masalah pasaran hartanah China yang berterusan.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6845/6885 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin pada 4.6850/6880.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes menjangkakan ringgit didagangkan secara defensif hari ini apabila hasil bon 10 tahun AS mencapai tahap tertinggi baharu, meningkat 10 mata asas kepada 4.53 peratus, manakala masalah pasaran hartanah China yang berterusan menjejaskan mata wang Asia.

"Pasaran mata wang Asia nampaknya tidak akan mendapat bantuan daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) yang komited untuk mengekalkan kadar faedah AS lebih tinggi untuk tempoh lama," katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata ringgit diunjur kekal antara RM4.68 hingga RM4.69 hari ini menjelang kemungkinan penutupan kerajaan AS pada 1 Okt, sekiranya Kongres AS masih belum membuat keputusan mengenai rang undang-undang perbelanjaan.

"Dilaporkan sekiranya penutupan kerajaan berlaku, mungkin terdapat kelewatan dalam pengeluaran data perangkaan seperti seperti senarai gaji bukan ladang dan indeks harga pengguna yang dijadualkan pada 6 Oktober dan 12 Oktober.

"Ini akan membuatkan pelabur dan Rizab Persekutuan buntu dalam menilai petunjuk ekonomi terkini, yang membawa kepada ketidaktentuan selanjutnya," tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.9581/9623 daripada penutupan urus niaga Isnin pada 4.9825/9857, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7174/7223 daripada 5.7274/7311 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1467/1496 daripada 3.1523/1546 semalam.

Pada masa sama, unit tempatan itu diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Nilai ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.9360/9517 daripada 12.9642/9772 pada Isnin tetapi tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 304.1/304.5.

Mata wang tempatan turut menambah nilai berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.25/8.26 pada Isnin dan naik berbanding dolar Singapura pada 3.4271/4303 daripada 3.4295/4319. - Bernama