Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Isnin berikutan harga minyak mentah yang bertambah baik dan harapan terhadap pakej rangsangan bagi ekonomi China.

Pada jam 6 petang, unit tempatan ditutup kepada 4.6730/6780 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6760/6805 pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit diniagakan agak baik sedikit pada Isnin memandangkan hubungan perdagangan kukuh Malaysia dengan China, justeru pengeksport boleh memanfaat daripada kemungkinan pakej rangsangan di China oleh kerajaan negara itu.

Sementara itu, Hong Leong Bank Bhd agak optimis dengan pergerakan dolar AS/ringgit kerana perkembangan geopolitik pada hujung minggu lepas dijangka membawa kepada minat terhadap aset selamat dengan dolar AS bakal menerima manfaat besar daripadanya.

"Paras psikologi 4.7000 dilihat sebagai paras ketahanan kukuh bagi sebarang kemungkinan peningkatan,” kata bank itu dalam satu nota penyelidikannya.

Pada penutup dagangan, ringgit agak rendah berbanding pound Britain pada 5.9487/9551 daripada paras penutup 5.9469/9527 pada Jumaat dan turun berbanding euro kepada 5.0917/0971 daripada 5.0781/0830.

Unit tempatan naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.2624/2661 daripada 3.2645/2680.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh brbanding mata wang negara ASEAN lain kecuali peso Filipina.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4536/4575 daripada 3.4568/4604 pada Jumaat dan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2733/2954 daripada 13.2765/2950.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 311.0/311.5 daripada 311.7/312.2 dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.40 daripada 8.38/8.40 sebelumnya. - Bernama