MHO bantah tindakan PTG Perak arah ganti tanah lain

IPOH - Tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang mengarahkan syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan untuk menukar status tanah lain milik syarikat berkenaan kepada rizab Melayu adalah tidak bertepatan dengan undang-undang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, saranan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Tanah Rizab Melayu 1933 yang mana sebarang urusan bertentangan dengan enakmen sama ada bagi tujuan urus niaga atau pelupusan adalah terbatal sekiranya dipindah kepada bukan Melayu.
Menurut beliau, langkah PTG yang turut mengenakan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi menghalang sebarang pindah milik kepada bukan Melayu akan merugikan pemegang tanah.
"Kita tidak mempertikaikan usaha itu cuma apabila dibuat Kaveat Pendaftar, ia tidak selesaikan apa-apa masalah kerana lebih merugikan pemilik tanah atau pemegang tanah bukan Melayu yang sudah beli tanah terbabit tanpa mengetahui ada sekatan.