PRK Pelangai: Berkempen guna kata-kata kesat bukan amalan di Pahang

Fadzli kesal dengan tindakan segelintir pihak yang berkempen dengan menggunakan kata-kata kesat dan lucah. - Foto: Media Pahang
Fadzli kesal dengan tindakan segelintir pihak yang berkempen dengan menggunakan kata-kata kesat dan lucah. - Foto: Media Pahang
A
A
A

BENTONG - Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal kesal dengan tindakan berkempen menggunakan perkataan kesat dan lucah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurutnya, cara berkempen menggunakan perkataan kesat dan lucah bukanlah amalan serta budaya politik di Pahang selain dikhuatiri menjejaskan keamanan di kawasan dan negeri itu.

“Saya sangat kesal dengan kenyataan YAB Menteri Besar Kedah dalam ceramahnya di Felda Kemasul dua hari lepas yang mengeluarkan kata-kata kesat dalam ceramah tersebut.

“Ini bukan budaya dan amalan di Pahang. Ini bukan cara kita di Pahang. Kita hidup dalam rukun, aman dan harmoni selama ini," katanya selepas melakukan lawatan ke gelanggang futsal dan liga sepakan penalti di padang Sekolah Kebangsaan (Shafie) di sini pada Ahad.

Fadzli berkata, beliau tidak mahu budaya seperti itu diikuti atau mempengaruhi masyarakat di sini khususnya anak-anak muda dan menggesa supaya berkempen secara sihat.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dong turut menggesa pihak luar yang datang berkempen di Pelangai untuk tidak melagakan masyarakat di kawasan ini.

“Jadi saya minta pihak luar, pemimpin-pemimpin luar yang datang berkempen di Pelangai sempena PRK ini janganlah mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegitu dan kata-kata kesat.

"Janganlah menabur dan menanam kebencian kepada pemimpin-pemimpin kita...jangan melagakan masyarakat di Pelangai ini," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fadzli berkata, pendekatan untuk menambat hati pengundi bukannya dengan cara kurang sopan seperti menghasut, memaki-hamun dan kata-kata kesat.

“Sebab mereka-mereka ini akan pulang ke kawasan masing-masing selepas hari pengundian, maka apa jadi dengan masyarakat di sini?.

"Semua pihak diminta supaya menjaga keharmonian di dalam masyarakat dengan tidak membawa budaya politik sedemikian di negeri ini," jelasnya lagi.