Projek belum mula tidak akan diumum - MB Perak

Saarani pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Isnin.
Saarani pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan tidak akan mengumumkan sebarang projek pembangunan baru yang belum dimulakan di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelak kekeliruan terutama kepada rakyat yang mengharapkan pulangan dan manfaat besar daripada pelaksanaan pembangunan terutama dari segi peluang pekerjaan.

"Saya tidak akan umum benda yang belum berjaya, mana-mana (projek pembangunan) yang berjaya, baru kita boleh beritahu.

"Projek yang saya umumkan sebelum ini seperti projek pembangunan pusat industri Ipoh Raya dan pembinaan kilang oleh Jinjing (Syarikat Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd), bukan retorik kerana saya telah pergi melancarkan pecah tanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Isnin.

Noor Azman sebelum itu mempersoalkan pelaksanaan projek pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dikatakan hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja, tidak termasuk kawasan utara negeri.

Saarani berkata, kerajaan negeri sedang berusaha keras membangunkan pusat-pusat perindustrian baru di bahagian utara Perak di Parit Buntar dan Bagan Serai.

Katanya, ketika ini, Perak menerima permintaan tinggi daripada beberapa syarikat pelaburan di Pulau Pinang yang menyatakan hasrat untuk mengembangkan lagi perusahaan di negeri ini atas faktor kepesatan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Yang Berhormat berdoalah semoga pusat perindustrian ini dapat direalisasikan di Parit Buntar dan Bagan Serai, nanti kalau saya umum tak jadi, beliau komen pula.

"Apa yang saya katakan, kita akan berusaha beri perhatian di kawasan sebelah sana," katanya.

Antara pelaburan yang telah diumum melabur di negeri ini termasuklah bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) bernilai RM40 bilion di Tanjong Malim, pembinaan kilang XP Power di Seri Iskandar melibatkan pelaburan hampir RM300 juta serta pelaburan awal bernilai RM100 juta bagi pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika di kawasan Silver Valley Technology Park (SVTP).