Van jatuh Bukit Genting: Seorang pelancong Singapura disahkan maut

Anggota JBPM Pulau Pinang berjaya mengeluarkan salah seorang mangsa dari dalam van yang terbabas ke dalam cerun di Bukit Genting malam ini. - Foto Bernama
Anggota JBPM Pulau Pinang berjaya mengeluarkan salah seorang mangsa dari dalam van yang terbabas ke dalam cerun di Bukit Genting malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang pelancong wanita warga Singapura maut selepas van persiaran yang dinaikinya terjatuh dari Bukit Genting di sini pada jam 8.14 malam Ahad.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Putih, Pegawai Bomba Kanan II N Prenavaran berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian kerana cedera parah.

Menurutnya, mangsa menaiki van berkenaan bersama sembilan rakan senegaranya.

"Kesemua mangsa berjumlah 11 orang termasuk pemandu warga tempatan. Penumpang terdiri daripada warga Singapura iaitu tujuh wanita dan tiga lelaki.

Anggota JBPM Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa. - Foto Bernama
Anggota JBPM Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa. - Foto Bernama

"Mayat mangsa dan dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang manakala tujuh lagi dibawa ke Hospital Balik Pulau.

"Ketika operasi menyelamat, mangsa terakhir yang diselamatkan adalah seorang wanita yang tersepit di tempat duduk di sebelah pemandu dan masih hidup," katanya.

Katanya, ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Van tersebut terjatuh ke dalam cerun bukit setinggi hampir 6.1 meter. Kita menggunakan cara yang selamat untuk menurunkan anggota kita ke lokasi kejadian kerana keadaan di sini gelap dan licin akibat cuaca hujan.

"Operasi tamat kira-kira jam 10.40 malam. Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di selekoh yang mana van tersebut dipercayai terbabas kerana keadaan jalan yang licin," katanya.