'Terpaksa beli beras import kurang dikenali'

Kesukaran mendapatkan beras tempatan dalam pasaran menyebabkan rakyat di negeri ini tiada pilihan terpaksa membeli beras putih import. - Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Ika, Safira
Kesukaran mendapatkan beras tempatan dalam pasaran menyebabkan rakyat di negeri ini tiada pilihan terpaksa membeli beras putih import. - Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Ika, Safira
A
A
A

SETIU - Kesukaran mendapatkan beras tempatan dalam pasaran menyebabkan rakyat di negeri ini tiada pilihan terpaksa membeli beras putih import meskipun berhadapan kenaikan harga beras tersebut.

Rata-rata orang ramai menyatakan pilihan yang ada buat masa ini dengan membeli jenama beras import kurang dikenali yang dijual pada harga berpatutan dan murah.

Suri rumah, Safira Mohd, 30 berkata, dia 'menolak tepi' soal kemahuan untuk membeli beras import kegemarannya yang sering dibeli sebelum ini untuk berjimat berikutan berhadapan kenaikan kos sara hidup terutama harga barangan.

"Memang tak pernah tahu jenama beras import kurang dikenali sebab tak pernah beli sebelum ini, maka tak tahu rasanya macam mana.

"Tapi sebab ini sahaja pilihan yang ada dan ia dijual pada harga berpatutan terpaksa juga beli sebab kita nak jimat dan kurangkan kos belanja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagi peniaga, Ika Mohd, 24, berkata, dia sudah mencari beras tempatan di merata tempat namun mendapati ia bukan sahaja kehabisan stok malah cepat habis.

"Puas cari beras tempatan tak kira di pasar raya dan kedai runcit di sekitar bandar Permaisuri tak jumpa-jumpa.

"Jadi pilihan yang ada terpaksa beli beras import yang ada tetapi dijual mencecah RM40 bagi 10 kilogram," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pelajar politeknik, Muhammad Bunyamin, 21, berkata, dia sukar mencari beras tempatan pada harga bawah RM30 di sekitar Dungun sejak 16 September lepas.

"Saya memang masak di rumah sewa dan makan bersama 10 ahli rumah sewa lain kerana mahu menjimatkan wang. Sebagai pelajar, kenaikan harga beras ini membebankan perbelanjaan kami.

"Itu belum dicampur dengan kos masak lauk-lauk lain seperti ayam dan telur di mana anggaran kos sehari melebihi jangkaan kos harian kami.

"Jadi harapan saya agar kerajaan dan pihak berkuasa dapat menangani serta menyelesaikan masalah tersebut kerana ramai rakyat yang terjejas serta terpaksa berhadapan kenaikan kos harga makanan," ujarnya.

-