Kesilapan di awal perlawanan faktor Jang tewas

Benteng pertahanan Negeri Sembilan FC cuba mengekang asakan daripada pemain JDT, Oscar Aribas dalam perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers
Benteng pertahanan Negeri Sembilan FC cuba mengekang asakan daripada pemain JDT, Oscar Aribas dalam perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

KESILAPAN pada babak pertama dilihat menjadi faktor utama menyumbang kepada kekalahan 1-4 (aggregat 1-7) Negeri Sembilan FC kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Menurut pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan, skuad kendaliannya dibolosi tiga gol pada separuh masa pertama dan ia menyukarkan lagi kebangkitan skuad Hobin Jang Hobin itu susulan kekalahan 0-3 kepada JDT pada aksi suku akhir pertama, 13 September lalu.

“Bukan mudah sebenarnya datang ke sini dalam keadaan ketinggalan 0-3 pada suku akhir pertama dan kita dah dibolosi tiga gol pada separuh masa pertama.

“Rasanya kalau kita dapat main (bertahan) sebagaimana yang ditunjukkan pada separuh masa kedua, mungkin kita boleh kurangkan gol," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Mengulas mengenai prestasi skuad Jang, Devan berkata, secara keseluruhannya setiap pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan.

Malah katanya, dia berbangga menyaksikan kesebelasan pemain tempatan yang berjaya memberikan saingan kepada pasukan elit seperti JDT yang dibarisi ramai pemain import.

"Pemain dah tunjukkan prestasi dapat compete (bersaing), simpan, hold (kawal) bola dan kalau tengok prestasi pasukan saya berikan pujian kerana pemain begitu bersungguh-sungguh dan taktikal disiplin kita juga baik.

"Saya juga sangat berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan oleh semua pemain tempatan kerana Gulon (Herold) dan Casa grande masih belum cergas sepenuhnya untuk beraksi," katanya.

Artikel Berkaitan: