Bukan salah Syihan JDT kalah - Solari

Ahmad Syihan
Ahmad Syihan
A
A
A

"BUKAN salah Syihan... dia telah berikan aksi terbaik bagi memastikan pintu gol tidak dibocori sepanjang 90 minit perlawanan."

Itu reaksi pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari susulan tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksi sulung Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL), di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Kekalahan itu dikatakan berpunca gara-gara kesilapan penjaga golnya Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada penghujung babak pertama.

Menurut Solari, dia enggan meletakkan Syihan enggan meletakkan kesalahan kepada Syihan yang disifatkan telah beraksi cemerlang menangkis percubaan-percubaan berbahaya pelawat.

Malah katanya, sebarang kesilapan dan kecuaian adalah perkara biasa dalam bola sepak dan ia tidak wajar dijadikan alasan setelah kesebelasan yang diturunkan juga telah memberikan aksi terbaik bagi mengekang skuad Gremio itu hingga mampu bangkit memberikan tekanan pada babak kedua.

“Dia (Syihan) mungkin melakukan keputusan yang kurang bijak tapi saya enggan salahkan dia kerana keputusan dibuat secara tidak diduga, yang akhirnya telah menghukum dirnya sendiri.

“Lagipun dalam perlawanan ini, dia turut menjadi penyelamat kepada pasukan apabila berjaya menafikan percubaan-percubaan berbahaya lawan. Oleh itu, saya menganggap malam ini bukan malam kami.

"Saya tidak sukakan kekalahan tapi jika memilih untuk kalah, ini adalah caranya. Ini kerana kami sudah bermain dengan baik dan hampir mengejutkan mereka (Kawasaki Frontale),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Syihan yang meluru keluar gagal memintas hantaran ke kotak penalti sebelum Tatsuki Seto menanduk kepada Marcio Barbosa yang kemudiannya melibas penuh bergaya ke pintu gol yang sudah terbuka untuk gol tunggal perlawanan.

Kekalahan itu juga merupakan kekalahan sulung skuad Harimau Selatan itu di gelanggang sendiri musim ini.

Sementara itu, Solari enggan mengulas mengenai keputusan video bantuan pengadil (VAR) khususnya terhadap insiden melibatkan Arif Aiman Mohd Hanapi yang mendakwa dikasari penjaga gol lawan.

Katanya, perkara itu pastinya telah dikendalikan oleh pihak yang lebih arif dan profesional.

“Saya tak dapat mengulas mengenai perkara ini kerana saya percaya kepada pihak profesional yang mengendalikan VAR telah membuat keputusan yang tepat. Mungkin kami tidak bertuah pada hari ini (Selasa),” katanya.