Berhati-hati bila petik ayat al-Quran - Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

PARIT BUNTAR - Semua pihak termasuk ahli politik dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memetik ayat al-Quran agar tidak menyinggung atau menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tafsiran kalam ALLAH perlu ada ilmu dan disiplin tertentu selain mempunyai rujukan.

Menurut beliau, memetik ayat-ayat suci al-Quran tanpa konteks dikhuatiri akan dilihat cuba mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri.

"Saya hanya menasihati perlu ada berhati-hati kerana al-Quran itu ada disiplin-disiplinnya yang tertentu kerana nanti akan timbul kekeliruan.

"Al-Quran ini memerlukan yang pakar. Dalam kalangan kita ramai yang pakar. Apabila kita hanya memetik begitu sahaja, orang yang tahu ayat al-Quran akan terasa, ayat itu dipermudahkan tanpa satu perincian," katanya pada program Karnival Jom Sihat 2023 Hospital Parit Buntar di sini pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dalam video di TikTok menafsirkan potongan ayat surah An-Nisa untuk menggesa umat Islam menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ditanya mengenai permohonan maaf daripada Pakatan Harapan (PH) Perak, Mujahid merasakan isu berkenaan tidak sampai tahap berkenaan.

"Saya rasa ia tidak sampai tahap begitu. Selaku pengerusi PH Perak, tidak salah saya menasihati semua pihak supaya berhati-hati dalam bab ini kerana ia berpotensi menimbulkan rasa kurang enak.

Artikel Berkaitan:

"Tidak kisah siapa yang berkata, YB Howard sendiri pun saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati," katanya.

Sinar Harian melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard Lee kerana membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pihaknya akan merekod keterangan ahli parlimen itu dalam masa terdekat susulan laporan mengenai perkara tersebut dibuat di Kuala Lumpur dan Perak.