Banjir Sabah: 102 mangsa di Beaufort dipindahkan ke PPS

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seramai 102 mangsa banjir daripada 36 keluarga di Beaufort telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Selagon, setakat tengah hari tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, PPS itu menempatkan seramai 15 lelaki dan 32 wanita, manakala selebihnya 35 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan.

PPS itu telah dibuka sejak jam 4 petang semalam berikutan situasi banjir kilat susulan hujan berterusan.

“Pemantauan diteruskan di lokasi hotspot di daerah berkaitan berikutan hujan lebat masih berlaku sehingga setakat ini,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, seramai 33 orang daripada tujuh keluarga di Limbang dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Medamit dan PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui, setakat 3 petang tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, PPS Dewan Masyarakat Medamit menempatkan 17 orang manakala 16 orang di Dewan Serbaguna Buluh Balui.

"Kawasan terjejas banjir melibatkan Kampung Baru, Medamit, Kampung Tanjung, Kampung Buluh Balui, Kampung Ranggu, Kampung Batu Danau serta Kampung Pandak," menurut JPBN Sarawak.

PPS Dewan Masyarakat Medamit telah beroperasi sejak Rabu manakala PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui diaktifkan sejak semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di PERAK, JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kilat yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Changkat Lobak di Kerian mencatatkan peningkatan setakat 12 tengah hari tadi.

Sekretariat itu memaklumkan PPS itu kini menempatkan 33 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Matang Tengah berbanding 26 orang daripada empat keluarga semalam.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras amaran dengan bacaan direkodkan 3.22 meter.- Bernama