Tiga sekolah di Pelangai terima peruntukan tambahan kerja naik taraf

Lim Hui Ying
Lim Hui Ying
A
A
A

BENTONG - Sejumlah RM110,000 dana tambahan diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf kemudahan di tiga sekolah yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, peruntukan itu disampaikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Manchis dan SJKC Telemong, masing-masing sebanyak RM30,000 serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Renjok yang menerima RM50,000.

Beliau berkata, jumlah itu ialah tambahan kepada peruntukan yang telah diberikan sebelum ini kepada semua sekolah berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan di Pahang.

"Kita mempunyai 25 SJKC yang berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan di negeri ini dan kita telah menyalurkan RM1.46 juta. Bagi SJKT pula, 20 sekolah telah menerima bantuan RM1.52 juta," katanya kepada pemberita selepas melawat tiga sekolah berkenaan hari ini.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, lawatan kerja beliau hari ini bertujuan memantau kemajuan kerja menaik taraf tandas di sekolah-sekolah itu setelah kerajaan sebelum ini meluluskan RM70,000 bagi SJKC Manchis dan SJKC Telemong dan RM50,000 untuk SJKT Ladang Renjok.

"Kebanyakan semua (kerja menaik taraf) ada kemajuan. Kita beri masa tiga bulan untuk menyiapkan projek ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: