Selangor jadi tumpuan utama pelancong domestik

Suee Lim dan Azrul (kanan) pada sesi bertemu media dan townhall kakitangan Tourism Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14 di sini pada Jumaat.
Suee Lim dan Azrul (kanan) pada sesi bertemu media dan townhall kakitangan Tourism Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14 di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor menjadi antara tiga negeri tumpuan utama pelawat domestik di Malaysia dengan kehadiran seramai 6.4 juta pelancong ke negeri berkenaan pada tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, Selangor juga merupakan negeri dengan pelawat domestik tertinggi pada tahun lalu dengan 22 juta pelawat melawat ke negeri ini.

"Malah, Selangor menyumbangkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbanyak bagi tahun 2022 iaitu RM40.9 bilion dengan 26.5 peratus adalah dari sektor perkhidmatan melibatkan industri pelancongan.

"Atas kejayaan ini dan rekod perkembangan positif dari setahun ke setahun yang memberangsangkan, saya akan terus komited untuk melakar lagi sejarah baru dalam industri pelancongan negeri," katanya.

Suee Lim juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan ditemui pada sesi bertemu media dan town hall kakitangan Tourism Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14 di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor melalui Tourism Selangor memperkenal kempen 'Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu!' yang menawarkan pelbagai segmentasi pelancongan untuk menggamit pelancong.

Sementara di peringkat global pula agensi itu turut memperkenalkan kempen 'Splendid Selangor, Take Me Anywhere!' dan dua kempen dilancarkan pada 2020 ini terus memberi impak yang positif.

Artikel Berkaitan:

Cabang pelancongan itu merangkumi beberapa segmentasi pelancongan antaranya pelancongan eko atau alam semula jadi, agro dan homestay, makanan dan gastronomi, pelancongan kesihatan, sukan, hiburan dan juga taman tema.

Suee Lim berkata, bagi mengekalkan pencapaian Selangor, kerajaan negeri juga merancang menganjurkan pelbagai program dan aktiviti promosi berimpak tinggi bermula pada 2024.

"Ini kerana kerajaan negeri sedar bahawa negeri Selangor memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan ini.

"Tumpuan juga diberikan kepada promosi melalui platform digital dan media sosial yang sebelum ini sangat efektif dan berkesan sehingga menerima maklum balas serta capaian tinggi di media sosial," katanya.