PRK DUN Pelangai pula jadi tumpuan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
A
A
A

KEJAYAAN Pakatan Harapan (PH) menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah memberi kelegaan kepada Kerajaan Perpaduan.

Kemenangan dua PRK tersebut telah memberi harapan selepas kegagalan untuk menyerlah dalam pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu.

Kini tumpuan terarah kepada PRK DUN Pelangai di Pahang, yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit nahas pesawat di Elmina, Shah Alam bulan lalu.

Pada PRU15, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Rekod PRU15 itu menunjukkan UMNO tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi DUN Pelangai jika undi BN dikira bersama PH.

Namun, percaturan itu mungkin akan berubah berdasarkan keputusan mengejut dalam PRN lalu, yang menyaksikan banyak kerusi BN-PH dimenangi boleh calon PN.

Setakat ini, tujuh borang pencalonan dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang sehingga Selasa yang menyaksikan PN dan UMNO masing-masing membeli tiga borang, manakala satu lagi borang dibeli wakil Bebas.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pembelian borang pencalonan ini, dijangka akan ada saingan tiga penjuru.

UMNO perlu berusaha keras untuk memastikan calon mereka menang dalam pilihan raya itu untuk membuktikan kepada penyokong Kerajaan Perpaduan bahawa parti berkenaan masih mampu memberikan input positif kepada kerjasama politik BN-PH.

Pimpinan dan jentera parti perlu memainkan peranan penting dan aktif dalam berkempen untuk mengelakkan sebarang kegagalan berlaku terutama dalam menangkis isu berkaitan kes perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga isu kenaikan harga barang.

Isu tempatan juga perlu diambil kira terutama bagaimana untuk menaikkan nama kawasan Pelangai itu sendiri yang sebelum ini tidak diketahui umum.