Kerajaan diharap pertimbang laksana harga siling bahan binaan

Kerajaan turut digesa membekukan pendaftaran lesen baharu kontraktor kelas itu yang kini berlaku lambakan di seluruh negeri. (Gambar kecil: Abd Latip)
Kerajaan turut digesa membekukan pendaftaran lesen baharu kontraktor kelas itu yang kini berlaku lambakan di seluruh negeri. (Gambar kecil: Abd Latip)
A
A
A

REMBAU - Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan cadangan menetapkan harga siling bahan binaan asas bagi mengawal serta memantau harganya.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Negeri Sembilan, Abd Latip Alias berkata, langkah itu perlu dilakukan berikutan harga bahan binaan dijangka akan meningkat lagi ditambah pula dengan suasana ekonomi yang tidak berapa menentu ketik ini.

"Kalau dulu, seguni simen, harganya boleh dapat RM15 tetapi sekarang lebih RM20. Itu belum lagi kos menyewa jentera binaan yang saya juga difahamkan akan meningkat.

"Kita dapati isu kenaikan harga ini tiada penyelesaian yang mana kenaikan itu paling ketara sejak tahun lalu. Bila dah naik itu, memang susahlah kita nak tengok ia turun balik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, ia juga bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan menaikan harganya sesuka hati.

Tambahnya, kerajaan diharap dapat memainkan peranan mengatasi masalah itu lebih-lebih lagi dalam keadaan harga kebanyakan barang lain yang turut meningkat.

Selain itu, pihaknya turut menggesa kerajaan membekukan pendaftaran lesen baharu kontraktor kelas itu yang kini berlaku lambakan di seluruh negeri.

"Di Negeri Sembilan terdapat kira-kira 3,500 kontraktor Kelas F yang saya boleh katakan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau projek banyak kami tiada isu, soalnya sekarang projek kurang dan kalau ia berterusan mungkin ramai yang terpaksa gulung tikar," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan dapat menyediakan bajet tambahan untuk kontraktor kerja khususnya Kelas F dalam Belanjawan 2024 ini.