Armada Band 'reset' lagu khas untuk peminat di Sabah

Kumpulan penyanyi Indonesia, Armada Band, memilih Sabah sebagai lokasi konsert pertama mereka di Malaysia.
Kumpulan penyanyi Indonesia, Armada Band, memilih Sabah sebagai lokasi konsert pertama mereka di Malaysia.
A
A
A

KUMPULAN Armada Band yang bakal tampil buat pertama kalinya di Sabah akan membuat 'reset' lagu-lagu yang digemari termasuk yang tular di media sosial untuk dipersembahkan kepada peminatnya dalam konsert yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) 4 November depan.

Malah, kumpulan dari seberang ini juga bakal mengimbau kenangan peminat yang mengenalinya menerusi Kertas Band di mana lagu berjudul Kekasih Yang Tak Dianggap begitu popular suatu ketika dulu.

Menerusi sidang akhbar secara virtual bersama media Sabah baru-baru ini, Armada Band yang dianggotai oleh vokalis, Rizal Adi; Gitaris, Andika Maihendra atau Mai; pemain drum, Meri Yand atau Andit; wakil Empire Live, Ganjar Tribowo menjanjikan kelainan pada konsert itu berbanding persembahan mereka di Kuala Lumpur atau Indonesia.

"Senarai keseluruhan lagu belum kita bocorkan tetapi lagu-lagu yang viral di TikTok, YouTube Insya-ALLAH akan kami bawakan seperti Penantian, jadi kita akan lihat nanti.

"Lagu apa yang digemari warga Sabah itu nanti kita akan 'reset', kita akan bawakan dalam senarai lagu kita dalam konsert nanti," katanya.

Bagi menambahkan keterujaan peminat untuk datang ke konsert itu nanti, Armada Band turut berkongsi beberapa lagi lagunya yang popular sebelum ini.

"Lagu yang dibawakan sudah pasti Asal Kau Bahagia dan ada yang lebih istimewa iaitu lagu berjudul Kekasih Yang Tak Dianggap di mana dulu Armada Band dikenali sebagai Kertas Band dan lagu ini sangat terkenal di Malaysia dan Singapura.

"Lagu ini juga tidak pernah kami bawakan dalam konsert di Indonesia dan kemungkinan besar lagu ini kami akan bawakan di Kuala Lumpur dan Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum mengakhiri sidang akhbar, Armada Band yang kini sudah mempersiapkan diri untuk konsert itu berkongsi rasa keterujaannya untuk bersama peminat di Sabah selepas sejak sekian lama merancangnya.

"Sejak sebelum pandemik Covid-19 kita sudah merancang untuk mengadakan konsert di Malaysia termasuk di Sabah tetapi tidak jadi.

"Salah satu sebab kenapa kita pilih Sabah kerana peminat di Sabah begitu ramai terutama di media sosial dan banyak kali peminat meminta Armada Band datang membuat konsert di Sabah," jelasnya.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang www.myticket.asia dengan harga bermula daripada RM129 sehingga RM799.