Empat premis judi dipotong bekalan elektrik

Wan Mohd Zahari (kanan) menyaksikan kakitangan TNB membuat operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Cenderawasih pada Khamis.
Wan Mohd Zahari (kanan) menyaksikan kakitangan TNB membuat operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Cenderawasih pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Empat premis yang menjalankan perjudian dalam talian di sekitar daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan pemotongan itu dibuat menerusi kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menyekat kegiatan tersebut.

"Kita akan lakukan pemotongan di empat premis, masing- masing satu di Cenderawasih, Taman Tas, Pandan Permai dan Indera Mahkota yang dilakukan secara berperingkat.

"Mereka ini berselindung di sebalik pengoperasian kedai runcit, kedai aksesori telefon seperti menjual kad tambah nilai bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Cenderawasih di sini pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, polis telah melakukan risikan sebelum ini dan mendapati terdapat beberapa premis dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian itu.

Tambahnya, kebanyakan premis terbabit beroperasi sepenuhnya pada waktu malam.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari memaklumkan, selain TNB, pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melibatkan lesen perniagaan di premis di sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebanyak 11 lesen perniagaan dibatalkan MBK kerana kesalahan menyalahgunakan lesen perniagaan, manakala tujuh lesen perniagaan dibatalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).