PH jangan 'bakar jambatan' dengan Muda

Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan memerlukan Muda jika mahu melakukan reform terhadap beberapa institusi penting negara yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menuntut kelulusan majoriti 2/3 di Parlimen
Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan memerlukan Muda jika mahu melakukan reform terhadap beberapa institusi penting negara yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menuntut kelulusan majoriti 2/3 di Parlimen
A
A
A

PAKATAN Harapan dan Kerajaan Persekutuan memerlukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) jika mahu melakukan reform terhadap beberapa institusi penting negara yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menuntut kelulusan majoriti 2/3 di Parlimen.

Pada hari ini Kerajaan Madani hanya memiliki 147 ahli parlimen di Dewan Rakyat. Kelulusan majoriti 2/3 memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 ahli parlimen. Di sinilah pentingnya Muda, walaupun Muda hanya memiliki satu kerusi sahaja di kawasan parlimen Muar yang dimenangi oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Muda.

Ketika ini, walaupun Muda berpindah ke blok pembangkang di Parlimen tetapi Muda tidak menyertai Perikataan Nasional (PN) yang merupakan blok pembangkang terbesar dengan 74 orang ahli Parlimen.

Ini dapat dilihat pada hari Selasa 19 September lalu apabila ahli-ahli Parlimen PN keluar beramai-ramai meninggalkan Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggulung ucapannya dalam perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12, tetapi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tetap berada di dalam Dewan Rakyat dan merupakan satu-satunya ahli Parlimen pembangkang yang kekal berada di dalam Dewan Rakyat dan menyertai perbahasan sehinggalah Usul tersebut diluluskan.

PH dan Kerajaan Madani sekarang sedang berusaha melakukan dua reform yang sangat penting berkaitan institusi negara. Reform yang pertama ialah usaha yang sedang rancak berjalan untuk menggubal Rang Undang-Undang berkaitan pemisahan jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Manakala reform yang kedua ialah usaha untuk menggubal Rang Undang-Undang berkaitan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (Parliament Services Act).

Kedua-dua reform tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Yang menariknya walaupun peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar ditarik balik oleh kerajaan Persekutuan sebaik sahaja Syed Saddiq selaku Presiden Muda menyatakan bahawa beliau menarik balik sokongan kepada kerajaan Madani dan berpindah ke blok Pembangkang tetapi di dalam Parlimen pada 19 September lalu, Ahli Parlimen Muar itu menyatakan dengan tegas dan berprinsip bahawa beliau akan menyokong Kerajaan Madani dalam usaha-usaha positif melakukan reform yang melibatkan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Jadi Perdana Menteri Anwar Ibrahim khususnya perlu memberi perhatian terhadap pendirian positif Muda yang ingin memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.

Rakyat tidak lupa akan peranan Syed Saddiq, Menteri Belia dan Sukan pada waktu itu yang mempelopori usaha pindaan Perlembagaan pada tahun 2018 hingga 2019 di Parlimen ke arah pembentangan dan kelulusan dengan majoriti 2/3 ke atas RUU Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, PH dan Kerajaan Madani tentu tidak perlu diajar tentang bagaimana untuk menangani kontradiksi atau pertentangan. Muda bukannya parti pembangkang kini yang bersifat destruktif yang membangkang hanya kerana mahu membangkang. Kerana itu PH khususnya jangan membakar jambatan dengan Muda.

Kontradiksi antara PH dengan Muda adalah kontradiksi yang bersifat air dicincang tidak akan putus; atau carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga. Kontradiksi ini adalah kontradiksi non-antagonistik.

Justeru itu, janganlah diulang lagi peristiwa di Temasik Singapura, dalam sejarah purba Singapura dilanggar Todak, di mana budak yang cerdik bernama Hang Nadim dibunuh oleh para pembesar istana yang bodoh dengan mencampakkan Hang Nadim yang cerdik itu ke laut dengan tangan serta kakinya dipasong oleh rantai besi.

* Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang