Kepulangan padu Arsenal ke Liga Juara-Juara

Jesus antara mesin gol Arsenal ketika menjinakkan PSV di Emirates pada Khamis. - Foto Agensi
Jesus antara mesin gol Arsenal ketika menjinakkan PSV di Emirates pada Khamis. - Foto Agensi
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji kepulangan The Gunners ke Liga Juara-Juara selepas membelasah PSV Eindhoven 4-0 di Stadium Emirates pada Khamis.

Gol dijelmakan Bukayo Saka minit kelapan, Leandro Trossard (m-20), Gabriel Jesus (m-38) sebelum Martin Odegaard (m-70) melengkapkan kemenangan fantastik selepas rehat.

Kembali ke saingan kelab elit Eropah buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, Arsenal mengenepikan pendahulu Liga Eredivisie Belanda sekaligus membuktikan kelab London itu mampu mengatasi cabaran kelab besar dalam kategori kelas premium.

"Ia adalah malam yang terindah selepas sekian lama. Seronok melihat suasana, irama muzik Liga Juara-Juara sungguh menyentuh emosi sebelum perlawanan...

"Kami dapat merasai tenaga itu. Saya benar-benar teruja tetapi perlu mengawal emosi saya. Ya, kami perlu menikmati malam-malam ini kerana ia satu yang perlu diingati," kata Arteta.

Sebagai rekod, aksi terakhir Arsenal sebelum ini adalah pada Mac 2017 ketika Bayern Munich melengkapkan kemenangan agregat 10-2 dalam pusingan 16 terakhir.

Namun The Gunners adalah pasukan yang jauh lebih hebat sekarang, walaupun kurang pengalaman Liga Juara-Juara, selain perlu melayari Kumpulan B, yang turut menampilkan Sevilla dan Lens.

Saingan musim ini, Arsenal tampil lebih garang apabila meraih empat kemenangan daripada lima aksi Liga Perdana Inggeris dalam misi menebus kekecewaan musim lalu ketika terlepas perebutan kejuaraan.

Artikel Berkaitan:

"Kami cemerlang ketika berada dalam kedua-dua kotak, itulah perbezaannya. Apabila anda melihat pasukan ini berlari penuh kepantasan, ia adalah kegembiraan untuk ditonton. Penamat perlawanan ini merupakan tahap kelas atas.

"Untuk menjaringkan empat gol menentang PSV Eindhoven yang memenangi setiap perlawanan musim ini adalah luar biasa, tetapi masih ada perkara yang mungkin lebih baik selepas ini," kata Arteta.