Terima siapa jadi calon, sudah pilih yang terbaik - Tok Mat

Mohamad menyantuni ahli BN yang hadir dalam majlis pelancaran jentera parti PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai di sini pada Rabu.
Mohamad menyantuni ahli BN yang hadir dalam majlis pelancaran jentera parti PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai di sini pada Rabu.
A
A
A

BENTONG - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan meminta semua ahli supaya menerima sebarang keputusan terhadap pilihan calon yang ditetapkan oleh parti untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Pelangai pada 7 Oktober nanti.

Menurutnya, calon yang dipilih adalah yang terbaik dan sudah menjalani saringan terakhir.

"Ini pesan saya tadi dan juga Pengerusi BN Pahang, dan mereka telah pun berbuat baiah bahawa siapa sahaja di antara mereka yang akan diumumkan malam ini akan mewakili parti.

"Yang bertanding parti..bertanding ditentang PN dan Bebas. Calon itu merupakan wakil parti sahaja.Siapa yang menang atau yang akan kalah ialah parti," kata beliau kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pemimpin UMNO serta komponen BN lain.

Ujar beliau, ahli parti perlu memastikan kemenangan di Pelangai supaya Pahang menjadi benteng kuat BN khususnya di DUN tersebut yang telah mempamerkan kecemerlangan dengan kejayaan selama sembilan penggal sebelum ini.

"Pelangai ini merupakan kubu kuat kita.. Allahyarham Datuk Seri Johari Harun telah menang majoriti 4,000 lebih... Jadi kita cuba kekalkan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tak dapat kekalkan pun kurang sikit pun tak apa..Tapi lebih baik kita hadiahkan dengan kemenangan majoriti dengan lebih baik supaya jasa-jasa yang dilakukan oleh Tan Sri Adnan Yaakob dan Johari dapat disambung. Harap pengundi memberikan penghormatan dan membalas jasa baik mantan Menteri Besar sebelum ini," tambah beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan PRK DUN Pelangai boleh dianggap sebagai lokasi latihan supaya jentera sentiasa bergerak selepas menghadapi PRK DUN Pulai dan Parlimen Simpang Renggam, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai peratusan pengundi keluar mengundi pada 7 Oktober kelak, Mohamad berkata, kebiasaan peratusan keluar mengundi adalah 70 peratus kerana bagi mereka, PRK tidak mendatangkan apa-apa impak.

"Tapi kita nak pastikan supaya ini merupakan latihan kepada jentera kita untuk mengeluarkan seramai mungkin ahli-ahli parti. Di DUN Pelangai ada lebih 3,070 ahli UMNO, maknanya 20 peratus sudah dalam tangan kita," jelas Mohamad.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).