'Semua ahli Pas boleh jadi calon termasuk Annuar' - Takiyuddin

Takiyuddin (kanan) memakaikan jaket berlogo Pas kepada Annuar semasa Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
Takiyuddin (kanan) memakaikan jaket berlogo Pas kepada Annuar semasa Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Semua ahli Pas boleh menjadi calon wakil rakyat termasuklah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas menyertai parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

"Mana-mana ahli Pas berhak jadi calon yang difikirkan sesuai. Sudah tentu calon yang diberikan kepercayaan itu mampu memberikan kemenangan kepada parti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Ahad.

Ceramah tersebut turut menampilkan Annuar yang baharu sahaja menjadi ahli Pas dan beberapa pemimpin kanan kerajaan negeri.

Menurut beliau, Pas sudah mempunyai senarai pendek yang akan diketengahkan sebagai calon pada PRN di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.

Ujarnya, calon yang bakal ditampilkan itu meliputi muka lama dan baharu dalam usaha memastikan Pas menjadi pilihan pada PRN tersebut.

Takyuddin memberitahu, berkemungkinan besar semua calon itu akan diumumkan pada minggu hadapan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, bermula Januari hingga Mei Pas sudah menerima 20,000 keahlian baharu.

"Setiap bulan Pas secara purata menerima sekitar 4,000 ahli baharu yang meliputi semua peringkat umur.

"Syarat kita, nak jadi ahli Pas mesti akil baligh mengikut syarak selain beragama Islam," katanya.