'Siasat kemungkinan wujud kartel getah manipulasi harga kayu getah'

Foto hiasan. Gambar kecil: Nurul Amin
Foto hiasan. Gambar kecil: Nurul Amin
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid mempersoalkan harga kayu getah yang ditawarkan kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana didakwa tidak sepadan dengan harga pasaran.

Beliau berharap perkara itu disiasat kemungkinan ia didalangi kartel getah kalangan pemain industri yang memanipulasi harga kayu getah di pasaran.

Menurutnya, ini kerana pihak terlibat juga bertindak menentukan harga melalui syarikat yang terlibat dalam tender pengeluaran kayu getah.

“Perkara ini berlaku di Felda Lubuk Merbau dan mungkin juga berlaku di rancangan Felda lain. Apa yang saya bangkitkan ini berdasarkan aduan peneroka yang terlibat dalam projek tanam semula, yang mana Felda melaksanakan proses pengeluaran kayu getah,” katanya di sini pada Rabu.

Nurul Amin berkata, Felda mengeluarkan tender pengeluaran kayu getah dan kontraktor yang berjaya akan membayar penuh nilai harga kayu getah yang dikeluarkan dan diberikan kepada peneroka.

“Isunya harga ditawarkan oleh syarikat yang berjaya memperoleh tender Felda sangat rendah berbanding harga pasaran semasa. Boleh dikatakan bezanya separuh daripada harga semasa di pasaran yang boleh cecah sehingga RM3,000 seekar.

“Kenapa syarikat yang menawarkan harga tertinggi dan menang tawaran tender, sebaliknya menawarkan harga lebih rendah daripada harga pasaran. Saya mohon Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Felda melihat secara serius isu ini agar hak peneroka terbela,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan menyeluruh wajar dilakukan sama ada wujud kartel getah yang memanipulasi harga kayu getah di pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Mereka mengaut keuntungan atas penderitaan peneroka. Jangan sehingga wujud persepsi bahawa projek tanam semula ini berat sebelah dan tidak memihak kepada peneroka, akhirnya menyebabkan mereka lebih berminat menguruskan ladang secara individu dan tidak lagi mahu bersama Felda,” jelasnya.

Nurul Amin turut mencadangkan agar Felda memberikan keutamaan kepada pengilang kayu untuk tender pengeluaran kayu getah, bukannya kepada pemain industri atau syarikat yang tidak memiliki kilang kayu.

“Jika mereka tidak ada kilang, kayu yang mereka keluarkan akan dijual kepada kilang dan mereka mengaut keuntungan sebagai orang tengah,” katanya.

Menurutnya lagi, bermula 2017 kerajaan tidak membenarkan kayu getah dieksport dan ia menyaksikan trend penurunan harga kayu getah semasa.

“Adakah berlaku eksploitasi daripada pemain industri perabot tempatan yang menawarkan harga lebih murah daripada harga pasaran?

“Saya menyokong industri perabot tempatan namun jangan sehingga ia ‘membunuh’ peneroka yang menunggu lama untuk dapatkan hasil jualan kayu getah. Ini kerana penjualan kayu getah merupakan mata pencarian utama mereka selepas pokok getah tua ditebang,” jelasnya lagi.

Nurul Amin memaklumkan, isu berkenaan telah dibangkitkan beliau dalam sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen.

“Saya harap kerajaan dan Felda memberi perhatian kepada isu yang saya bangkitkan agar nasib peneroka lebih terjamin dan tidak ditindas pihak ketiga,” tegasnya.