Konvensyen syarikat pemula lahir lebih ramai teknousahawan

Rafizi (kanan) ketika pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu.- Foto: Bernama
Rafizi (kanan) ketika pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu.- Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menganjurkan satu konvensyen syarikat pemula dalam masa terdekat, antara lain bagi menghasilkan lebih ramai teknousahawan tempatan, Dewan Negara diberitahu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pembangunan syarikat pemula adalah prasyarat bagi mempercepat peralihan struktur ekonomi negara ke arah industri berasaskan teknologi dan digital.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan ekosistem modal teroka terus diperkukuh untuk mempercepat pembentukan syarikat pemula berasaskan teknologi.

"Ini termasuk inisiatif khusus untuk mengumpulkan sumber pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malah, tumpuan juga akan diberikan kepada pelabur dan syarikat pemula pada peringkat awal untuk memperkasa lebih ramai bakat tempatan sebagai pencipta dan pembangun teknologi,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Negara pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan dilapor menyasarkan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan industri digital serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital ke negara ini dengan sasaran Malaysia berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan telah menyediakan geran berjumlah RM266 juta pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf unikorn.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM63.9 juta telah disalurkan sehingga kini, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: