Seleweng minyak: Anak bekas menteri mohon percepat keputusan representasi

Muhammad Faisal (tiga dari kanan) bersama Krishna (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Muhammad Faisal (tiga dari kanan) bersama Krishna (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menangguhkan keputusan representasi kes penyelewengan berkaitan minyak masak bersubsidi melibatkan dua pengarah syarikat termasuk anak seorang bekas menteri tahun lalu.

Hakim Mazni Nawi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan hanya menerima representasi daripada Muhammad Faisal Hamzah, 39, manakala Azizul Abdul Halim, 55, masih belum mengemukakannya.

Justeru itu Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Syazwani Zawawi meminta satu tarikh baharu bagi membolehkannya meneliti kedua-dua representasi secara holistik.

"Untuk hari ini adalah keputusan representasi dan pihak pendakwaan telah terima representasi dari Muhammad Faisal, namun saya difahamkan yang Azizul juga akan masukkan satu representasi, tetapi masih belum diterima pihak pendakwaan.

"Walaupun ia (representasi) akan dinilai secara berbeza, tapi pihak pendakwaan nak meneliti kedua-dua representasi secara holisitik," katanya.

Azizul
Azizul

Peguam, Hasnan Hamzah yang mewakili Azizul meminta tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi untuk mengemukakan representasi tersebut.

Bagaimanapun Peguam Krishna Dallumah yang mewakili Muhammad Faisal pula memohon supaya keputusan representasi tersebut dipercepatkan kerana permohonan telah dibuat pihaknya pada 30 Jun lalu yang mana kini telah memasuki tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya harap perkara ini boleh dipercepatkan supaya kami tahu kedudukan sebenar.

"Walaupun keputusan representasi tertakluk kepada pihak pendakwaan, tapi masa yang terlalu lama akan perjudiskan hak anak guamnya," katanya.

Syazwani kemudian mencadangkan kepada mahkamah tarikh seterusnya untuk pengurusan kes dan jika ada perkembangan representasi pihaknya akan memaklumkan kepada semua pihak.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 November depan untuk sebutan semula kes.

Media pada 5 April lalu melaporkan kedua-dua orang kena tuduh (OKS) mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual memberikan maklumat palsu kepada KPDN semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen/Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5 petang di pejabat KPDN, Seremban 2, pada 12 Ogos 2022.

Berikutan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 (2) akta sama.

Tertuduh juga selaku pemegang lesen borong juga didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 tan metrik.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang di sini, pada 11 Ogos 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.