Warga asing ditahan cuba seludup minyak masak bernilai RM8,212

Seorang lelaki warga asing ditahan membawa lima kotak minyak masak subsidi tanpa dokumen dan permit di bandar raya Johor Bahru, pada Isnin.
Seorang lelaki warga asing ditahan membawa lima kotak minyak masak subsidi tanpa dokumen dan permit di bandar raya Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan seorang lelaki warga asing dan merampas lima kotak berisi minyak masak subsidi selepas menahan kereta yang dipandunya di bandar raya ini pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, unit risikan PPM tersebut melakukan serbuan pada jam 12.30 tengah hari selepas melakukan risikan dalam Op Taring Landai.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut membawa lima kotak mengandungi 85 paket minyak masak bernilai RM8,212.

"Minyak masak tersebut tidak mempunyai dokumen dan permit yang sah. Pihak polis turut menahan lelaki berusia 35 tahun itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika disabit kesalahan katanya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis Johor menasihati mereka yang masih terbabit dengan aktiviti penyeludupan agar menghentikan aktiviti berkaitan. Polis tidak akan berkompromi serta akan terus menjejaskan aktiviti ini," katanya.

Kamarul Zaman berkata, masyarakat juga digesa agar terus menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.

Artikel Berkaitan: