Himpunan Aman Selamatkan Malaysia: Rakyat ada hak bersuara - Rafique

Rafique (tengah) bergambar bersama rakan seperjuangan selepas memberi keterangan kepada pihak polis berhubung Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan pada Sabtu.
Rafique (tengah) bergambar bersama rakan seperjuangan selepas memberi keterangan kepada pihak polis berhubung Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat perlu berani bersuara dan menyatakan pandangan meskipun terhadap kerajaan kerana ia adalah hak sebagai warga Malaysia.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, seluruh rakyat mempunyai hak menyatakan pandangan dan luahan rasa masing-masing yang dirasakan perlu dikongsikan dengan barisan kepimpinan negara.

Beliau berkata, tidak ada apa yang perlu dirisaukan asalkan pandangan tersebut mengikut lunas undang-undang.

"Jangan takut hendak bersuara kerana ia hak seluruh rakyat Malaysia untuk bersuara, namun pastikan pandangan dan luahan rasa itu dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.

"Jangan menggunakan bahasa yang tidak elok, memaki hamun atau menghina mana-mana pihak, sebaliknya satu kritikan membina yang boleh digunakan untuk membangun serta memajukan negara," katanya dalam satu sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini.

Rafique antara peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dipanggil memberi keterangan berhubung penganjuran himpunan terbabit pada 16 September lalu.

Mengulas lanjut, Rafique berkata, undang-undang sedia ada memperuntukkan hak rakyat untuk bersuara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bukan sahaja memberikan hak bersuara, malah ada undang-undang melindungi mereka yang bersuara demi kebenaran.

Sementara itu, beliau berkata, Perhimpunan Aman Selamatkan Malaysia adalah satu platform buat seluruh rakyat menyatakan pandangan masing-masing kepada kerajaan.

Menurutnya, perhimpunan tersebut membolehkan seluruh masyarakat berbilang bangsa berkumpul dan langkah tepat meluahkan pendapat.

Tambahnya, selaras dengan agenda Parti Pejuang, ia digunakan bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu rasuah yang berlaku di negara ini.

"Berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang telah digubal oleh kerajaan, ia membenarkan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pendapat.

"Malah semua orang sudah tahu perhimpunan aman ini akan diadakan bagi menyuarakan pandangan rakyat.

"Saya juga percaya bahawa segala permohonan menganjurkan perhimpunan ini telah dipenuhi oleh pihak sekretariat penganjuran," ujarnya.