Kertas siasatan Himpunan Selamatkan Malaysia dihantar ke AGC esok

Himpunan Selamatkan Malaysia yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu.
Himpunan Selamatkan Malaysia yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan kertas siasatan kes Himpunan Aman Selamatkan Malaysia kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, seramai 29 individu telah dipanggil dan selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kita telah membuka tiga kertas siasatan iaitu pertama membabitkan siasatan ke atas kesemua 29 suspek iaitu peserta himpunan yang dikenal pasti.

"Kertas siasatan kedua berkaitan tiada pemakluman penganjuran himpunan dan kertas siasatan ketiga membabitkan kenyataan yang dibuat pada perhimpunan itu melibatkan ucapan peserta," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, ketiga-tiga kertas siasatan tersebut sudah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada AGC pada Jumaat untuk tindakan lanjut.

Terdahulu pada awal pagi Khamis, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan seramai 29 individu telah dipanggil dan selesai dirakam keterangan berhubung himpunan aman itu.

Menurutnya, siasatan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia disahkan tidak mematuhi undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2012.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, polis masih mengesan dua lagi individu yang didapati gagal tampil membantu siasatan sehingga Khamis dan polis telah mengeluarkan notis bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah.