Kombinasi terbaik Malaysia gegar LTdL 2023

Norazman (dua dari kiri) bersama barisan pelumba negara yang bakal menggalas cabaran pada LTdL 2023. Turut kelihatan Mazlan (tiga dari kanan), Ahmad Ikram (dua dari kanan) dan Mohd Yusof (kiri).
Norazman (dua dari kiri) bersama barisan pelumba negara yang bakal menggalas cabaran pada LTdL 2023. Turut kelihatan Mazlan (tiga dari kanan), Ahmad Ikram (dua dari kanan) dan Mohd Yusof (kiri).
A
A
A

EMPAT bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) menjadi sandaran skuad kebangsaan Malaysia bagi mengharungi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari 23 hingga 30 September ini.

Dengan diketuai Muhamad Zawawi Azman, tiga lagi bekas pelumba TSC ialah Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Shaiful Adlan Shukri.

Malaysia turut mempertaruhkan pelumba berpengalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Izzat Hilmi Abdul Halil dan muka baharu daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Zulhelmi Zainal pada LTdL kali ini.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah berkata, kesemua pelumba terbabit dipilih barisan kejurulatih diketuai Mohd Yusof Nasir berdasarkan prestasi semasa.

“Sudah tentu PKBM membuat penelitian dan saringan sebelum menyenaraikan enam pelumba terbaik. Mereka yang dipilih ini dianggap kombinasi terbaik dengan kehadiran empat bekas pelumba Sapura.

“Bersandarkan prestasi kesemua pelumba terbabit pada perlumbaan Tour Gateh D’Tranung baru-baru ini, saya percaya mereka mampu meraih positif pada perlumbaan LTdL tahun ini.

“Jika dibuat penilaian, barisan enam pelumba ini telah memperlihatkan prestasi baik apabila mereka berjaya meraih podium dalam setiap peringkat perlumbaan Tour Gateh D’Tranung,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Lebuhraya PKBM berkata demikian ketika berucap ketika Majlis Pengenalan Pelumba Malaysia pada LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Timbalan Presiden PKBM, Mazlan Md Jail, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, pengurus pasukan kebangsaan Malaysia, Ahmad Ikram Zakaria dan barisan kejurulatihan.

Sebelum pemilihan akhir itu dibuat, seramai 10 pelumba telah disenarai pendek bagi mengikuti kem latihan pusat selepas berakhirnya Kejohanan Kebangsaan 2023 di Melaka pada penghujung Julai lalu.

Mereka yang digugurkan ialah Muhamad Afiq Huznie Othman (ATM); Ariff Danial Rosedi (Perak) dan dua pelumba Akademi Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Haizam Shabri serta Saniy Syahmi Mohd Shafiee.

Untuk rekod, Izzat Hilmi merupakan satu-satunya pelumba yang kekal memperkasa skuad kebangsaan Malaysia pada perlumbaan LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

Pada edisi 2022, Izzat Hilmi yang ketika itu kali keempat mewakili pasukan kebangsaan di pentas LTdL, muncul pelumba terbaik Malaysia dan Asia - Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub) dan Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar).

Kali ini, pengalaman Izzat Hilmi menjadi aset untuk 'membimbing' rakan-rakan sepasukannya yang kali pertama menyarung jersi Malaysia pada kejohanan berstatus ProSeries itu.

LTdL 2023 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km) dan Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km).

Peringkat 5 diteruskan dari Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.