Lebih 400 pelumba sertai ACC 2023

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

LEBIH 400 pelumba termasuk 53 pelumba para (non-able) sudah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2023 (ACC 2023) di Velodrom Kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan bermula 14 hingga 19 Jun ini.

Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengesahkan China, Jepun dan Malaysia muncul antara negara yang menghantar paling ramai pelumba pada ACC kali ini yang menawarkan mata pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

“Hampir semua negara kuasa besar seperti China, Jepun, Korea Selatan, Iran, Hong Kong, Kazakhstan dan Malaysia sudah mengesahkan penyertaan dalam semua acara yang dipertandingkan kali ini. Cuma saya agak terperanjat dengan penyertaan Laos.

“Rasanya belum pernah Laos menyertai kejohanan trek yang dianjurkan di Kuala Lumpur. Ini satu perkembangan yang sangat positif kepada sukan berbasikal trek. Ini membuktikan disiplin trek sangat diminati di serata negara di benua Asia.

“Saya bersedia membantu Laos sekiranya negara tersebut berdepan dengan sebarang masalah sepanjang pelumba mereka berada di Bandar Baru Nilai,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Selasa.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan setakat ini ialah China, China Taipeh, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Laos, Macau, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Uzbekistan, Iran dan Malaysia

India, Indonesia, Jepun, Thailand, Uzbekistan, Iran, China dan Malaysia turut menghantar pelumba trek para yang turut dianjurkan berselang seli dengan acara pelumba trek.

Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya akan ada negara lain termasuk Nepal, Pakistan dan Myanmar yang bercadang untuk menampilkan pelumba mereka pada kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

“Sebenarnya masih ada negara yang berura-ura untuk menyertai ACC 2023. Penyertaan masih terbuka dan kita berharap akan ada lagi negara yang akan menghantar borang penyertaan kepada PKBM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, semua negara kuasa besar dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 10 atau 11 Jun kerana sesi latihan di Velodrom Kebangsaan bermula 11 Jun ini.

“Sesi latihan rasmi bermula pada 12 dan 13 Jun diikuti majlis pengesahan senarai pelumba, semakan lesen serta jersi negara yang menyertai ACC 2023.

“Majlis pembukaan ACC 2023 akan diadakan pada 13 Jun. Acara pertama para iaitu saringan 200 meter pecut omnium bermula pada jam 9 pagi pada 14 Jun diikuti Team Pursuit junior Wanita selepas itu,” jelas Abu Samah.