Zakat Fitrah di Terengganu dijangka naik tahun hadapan

Shaikh Harun (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil syarikat yang menyertai kempen potongan zakat berjadual anjuran MAIDAM di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Shaikh Harun (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil syarikat yang menyertai kempen potongan zakat berjadual anjuran MAIDAM di Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Terengganu dijangka meningkat pada tahun hadapan, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Beliau berkata, ia berikutan kenaikan kadar harga beras yang berlaku di pasaran tempatan sejak kebelakangan ini.

"Pegawai-pegawai di MAIDAM akan membuat tinjauan harga beras di pasaran dua atau tiga bulan sebelum Ramadan.

"Jadi, kita akan lihat harga beras sering dimakan oleh rakyat untuk dibawa dalam mesyuarat sebelum menetapkan kadar zakat fitrah yang bersesuaian.

"Kemudian perkara tersebut akan dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Selepas mendapat perkenan baginda, barulah kita umumkan kadar zakat fitrah yang telah dipersetujui," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pemerkasaan Pengoperasian MAIDAM dan Pelancaran Kempen Potongan Zakat Berjadual di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan MAIDAM menetapkan kadar zakat fitrah RM8, RM10 dan RM24 seorang mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari pada Ramadan lepas.

Individu yang makan nasi daripada beras super special tempatan perlu membayar zakat fitrah tidak kurang RM8 seorang.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang menggunakan jenis beras selain daripada itu, kadar zakat fitrah adalah RM10 seorang untuk beras super import (siam) dan RM24 seorang untuk beras jenis premium seperti basmathi.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, umat Islam diminta agar sama-sama membayar wakaf tunai supaya lebih banyak projek wakaf dapat dilaksanakan bagi membantu memacu ekonomi umat Islam di negeri ini.

"Sehingga hari ini, MAIDAM dipertanggungjawabkan ke atas 1,084 lot tanah yang diwakafkan.

"Sebahagian besar tanah ini telah dibangunkan seperti Perkuburan Islam Paya Bunga, Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu, Hotel Grand Puteri dan asrama kebajikan anak-anak yatim dan miskin Darul Akhyar," jelasnya.