Raja Muda Selangor berkenan hadir makan malam Selangor Youth Community

Tengku Amir Shah (duduk, tiga dari kiri) pada majlis makan malam eksklusif anjuran Prince’s Trust International dan Selangor Youth Community (SAY) di London, United Kingdom pada 16 September 2023. - Foto Facebook Selangor Royal Office
Tengku Amir Shah (duduk, tiga dari kiri) pada majlis makan malam eksklusif anjuran Prince’s Trust International dan Selangor Youth Community (SAY) di London, United Kingdom pada 16 September 2023. - Foto Facebook Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis makan malam eksklusif anjuran Prince’s Trust International dan Selangor Youth Community (SAY) di London, United Kingdom.

Selangor Royal Office dalam satu kenyataan memaklumkan keberangkatan Tengku Amir Shah pada Sabtu diiringi kekanda baginda, Tengku Zerafina dan Engku Panglima Setia Diraja, Datuk Syed Haizam Jamalullail.

“Majlis makan malam dengan tema ‘Empowering Malaysian Youth for a Brighter Tomorrow’ ini diadakan dengan hasrat meningkatkan kesedaran terhadap program-program pembangunan SAY untuk membantu para belia Malaysia mendepani cabaran akan datang.

“Menerusi inisiatif ini, Tengku Amir Shah yang juga pengasas SAY turut memperoleh sokongan daripada Prince’s Trust International, sebuah organisasi yang diasaskan oleh Raja Charles III,” kata Selangor Royal Office dalam kenyataan tersebut di laman Facebooknya.

Tengku Amir Shah (dua dari kiri) berkenan hadiri makan malam Selangor Youth Community di UK. - Foto Selangor Royal Office
Tengku Amir Shah (dua dari kiri) berkenan hadiri makan malam Selangor Youth Community di UK. - Foto Selangor Royal Office

Pada Khamis, Tengku Amir Shah turut berkenan menjadi hos majlis minum petang bagi meraih dana untuk SAY di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom.

Menurut Selangor Royal Office, majlis berkenaan dihadiri oleh jemputan-jemputan dari pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

"Ia antara usaha merintis kerjasama baharu dengan pihak-pihak yang berminat menyalurkan dana untuk program-program yang dikendalikan oleh SAY ke arah mewujudkan peluang-peluang yang lebih dinamik kepada para belia tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

SAY diwujudkan untuk membantu pembangunan belia khusus dalam bidang keusahawanan dan antara program dianjurkan termasuk Liga Usahawan Wanita dan Selangor Youth Community (SAY) ASPIRE.

SAY juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk belia seperti sukan, seni, kebudayaan dan menawarkan khidmat kemasyarakatan kepada golongan memerlukan.