Pesaka hantar 'singa kelaparan' ke Sukan SEA Filipina 2019

No Image Caption
A
A
A

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bakal mempertaruhkan skuad yang dibarisi 90 peratus muka baharu dengan sasaran dua pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyifatkan barisan pesilat baharu yang akan membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu sebagai ‘singa kelaparan’ berdasarkan keyakinan dan semangat juang dimiliki mereka.

Beliau berkata, keputusan membariskan muka baharu itu tidak akan menjejaskan sasaran dua emas skuad silat negara yang dianggap realistik meskipun tanpa dua jaguh negara Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

“Kita memang tidak ada kerisauan untuk menghadapi Sukan SEA dan meletakkan sasaran dua pingat emas daripada sembilan acara dipertandingkan. Daripada sembilan, lima merupakan acara tempur tetapi tiada kategori bagi Al Jufferi dan Siti Rahmah.

“Skuad silat negara akan dibarisi 90 peratus muka baharu dengan sebahagian besar merupakan juara kebangsaan. Mereka sangat luar biasa dan ibarat singa lapar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil2/2019 untuk sukan silat di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, persiapan rapi menghadapi Sukan SEA akan bermula pada Julai ini dengan mengadakan latihan di luar MSN sebelum berlepas ke Thailand bagi menjalani latihan intensif bersama skuad silat negara jiran itu.

Menurut beliau, peningkatan prestasi yang ditonjolkan barisan pesilat negara ‘Gajah Putih’ itu pada Kejuaraan Pencak Silat Terbuka Belgium 2019 hujung April lepas, menjadi faktor utama Thailand dipilih menjadi destinasi pilihan skuad Malaysia.

“Saya tengok Thailand di Belgium baru-baru ini sangat bagus. Saya sendiri agak terkejut melihat perkembangan mereka kerana peningkatannya agak mendadak. Jadi saya mahu beri pendedahan kepada pesilat baharu negara untuk berlatih bersama-sama mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Malaysia merangkul 10 pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Bernama