Masyarakat perlu memahami mengenai penjagaan sistem pembetungan

Malaysia mempunyai sistem pembetungan yang cekap dan sistematik untuk menjamin kelestarian alam

A
A
A

Sistem pembetungan merupakan elemen penting yang menentukan taraf kualiti hidup rakyat dan pembangunan sesebuah negara.
Sistem pembetungan merupakan elemen penting yang menentukan taraf kualiti hidup rakyat dan pembangunan sesebuah negara.

Air kumbahan sering dikaitkan dengan pepatah Inggeris, “Out of sight, out of mind”, yang bermaksud “di luar pandangan, oleh itu tidak terlintas di fikiran” dalam Bahasa Malaysia.

Malaysia mempunyai sistem pembetungan yang cekap dan sistematik.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.7 bilion dalam Rolling Plan 3 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk membangunkan infrastruktur mampan menerusi pelaksanaan projek pembetungan di seluruh negara.

Beliau menjelaskan bahawa ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pembetungan dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang efisien dan mampan.

"Setakat ini, Malaysia telah mencapai kadar perkhidmatan pembetungan bersambung sekitar 85.4 peratus di bandar-bandar utama dan Kerajaan telah menyasarkan untuk mencapai 90 peratus liputan pembetungan menjelang akhir RMK-12 pada 2025.

"Usaha ini adalah sejajar dengan Teras Strategik Utama Malaysia Madani iaitu menjamin kesejahteraan rakyat selain selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-6 iaitu untuk memastikan ketersediaan dan kelestarian pengurusan air serta sanitasi untuk semua.

Artikel Berkaitan:

"Namun masih ada antara kita yang kurang menghargai akan kepentingan sistem pembetungan atau tidak pernah terfikir ke mana perginya air sisa kumbahan selepas ia meninggalkan tandas kita," katanya.

Ujar Nik Nazmi lagi, kemungkinan hari ini, kita sudah terbiasa dengan sistem pembetungan yang baik kerana dengan hanya mengepam tandas, air kumbahan itu akan hilang dari pandangan.

Beliau berkata, bagi sistem pembetungan bersambung, air kumbahan akan terus masuk ke dalam paip pembetungan bawah tanah, sebelum dirawat di loji-loji rawatan kumbahan, bagi mencegah sebarang pencemaran atau penularan penyakit bawaan air.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Narendran Maniam berkata, di Malaysia, terdapat dua jenis sistem pembetungan utama yang digunapakai bagi menguruskan air kumbahan iaitu sistem perkhidmatan pembetungan bersambung dan sistem pembetungan tradisional seperti tangki septik, tandas palong atau curah.

Pengosongan tangka septik adalah penting bagi mengelak enap cemar terkumpul sehingga boleh memudaratkan alam sekitar.
Pengosongan tangka septik adalah penting bagi mengelak enap cemar terkumpul sehingga boleh memudaratkan alam sekitar.

Jelas beliau, untuk sistem pembetungan bersambung, air kumbahan akan mengalir daripada premis melalui jajaran paip pembetungan ke loji untuk rawatan sebelum dilepaskan ke sungai. Paip Pembetungan dan Loji Rawatan Air Kumbahan Awam diselenggara oleh IWK.

"Tangki septik pula merupakan sistem pembetungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk menyimpan air kumbahan dan enap cemar secara sementara. Enap cemar yang memasuki tangki ini akan mendap ke dasar tangki dan air di permukaan yang lebih jernih akan mengalir keluar menuju ke longkang atau parit.

"Ini adalah proses yang kurang efektif dan lama-kelamaan, tangki tersebut akan penuh dan perlu dikosongkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali tertakluk kepada kapasiti tangki dan isi rumah, untuk mencegah enap cemar keluar terus ke dalam longkang atau parit.

Pengosongan tangki septik adalah penting bagi mengelak enap cemar terkumpul menjadi penuh dan keras, sehingga boleh memudaratkan alam sekitar dan sistem pembetungan di premis berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Narendran, IWK telah mengeluarkan 627,000 notis penjadualan pengosongan tangki septik kepada premis yang menggunakan sistem tangki septik.

“Daripada 627,000 notis yang telah dikeluarkan sejak 2021, hanya 8.8 peratus yang telah memberi maklum balas kepada IWK berkaiatn tarikh yang mereka ingin menjalankan perkhidmatan pengosongan tangki septik,” katanya.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis yang bersambung dengan tangki septik atau mempunyai tangki septik perlu melakukan nyahenap cemar (pengosongan) secara berjadual.

IWK telah mengeluarkan 627,000 notis penjadualan pengosongan tangki septik kepada premis yang menggunakan sistem tangki septik.
IWK telah mengeluarkan 627,000 notis penjadualan pengosongan tangki septik kepada premis yang menggunakan sistem tangki septik.

Pihak IWK memohon pertimbangan tuan punya premis yang menggunakan tangki septik individu supaya mengosongkan tangki septik secara berkala bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Berkenaan sistem pembetungan bersambung pula, Narendran berkata, kesedaran kepentingan membayar bil pembetungan di kalangan pelanggan IWK yang menggunakan sistem bersambung adalah semakin tinggi dan ini dapat dilihat daripada peningkatan jumlah kutipan bil semasa dan bil tertunggak pada tahun lepas.

Jelasnya, kutipan berkenaan digunakan untuk pengoperasian syarikat dalam mengendalikan hampir 7,500 loji rawatan air kumbahan awam dan lebih 22,000 kilometer jajaran paip pembetungan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan IWK yang memahami dan memenuhi tanggungjawab masing-masing dalam membayar bil perkhidmatan IWK selama ini.

"Trend ini adalah sesuatu yang menggalakkan kerana ia membuktikan bahawa ramai juga yang sedar akan kepentingan penyelenggaraan sistem pembetungan,” tambah Narendran.

Selain itu, Narendran turut menekankan bahawa semakin ramai pelanggan IWK yang turut beralih kepada penggunaan bil elektronik, berbanding bil cetak.

Dengan beralih kepada e-bil, IWK bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran kertas dan kesannya terhadap alam sekitar, malah pelanggan IWK dapat menikmati sistem pengurusan bil yang lebih lancar, dan terus ke telefon bimbit tanpa menunggu bil cetak tiba di rumah.