'Terlintas di hati inilah gambaran kiamat'

Julie Ezwin bersama anak dan suaminya ketika berkumpul di kawasan Masjid Moulay el-Yazid. - FOTO Instagram colours_and_ezwin.
Julie Ezwin bersama anak dan suaminya ketika berkumpul di kawasan Masjid Moulay el-Yazid. - FOTO Instagram colours_and_ezwin.
A
A
A

SHAH ALAM - "Terlintas di hati saya, inilah gambaran sedikit hari kiamat seperti mana yang dibaca dalam al-Quran sebelum ini".

Demikian kongsi seorang rakyat Malaysia, Julie Ezwin Othman yang berdepan saat mencemaskan apabila terlibat dalam gegaran gempa bumi dengan magnitud 6.8 di Marrakesh pada Jumaat.

Julie Ezwin, 45, yang juga Pengarah Kreatif, Kebudayaan dan Pendidikan di salah sebuah syarikat pelancongan berkata, dia ke negara itu bagi menghadiri satu mesyuarat dan melancong bersama suami serta anak lelakinya pada 4 September lalu selain menginap di rumah milik rakannya di Riad Farasha.

Katanya, dia dan keluarga sedang mengadakan satu sesi makan malam bersama pelajar dari Malaysia serta Singapura, tidak lama kemudian berasa gegaran yang sangat kuat.

“Ketika bersembang, kami rasa gegaran kuat seolah-olah berada di dalam kotak yang digoncang dengan kuat. Ia menyebabkan air kolam renang di rumah inap ini berkocak kuat dan melimpah keluar.

“Selain itu, kami lihat lampu candelier berhayun, kipas siling berbunyi kuat selain banyak barangan bergerak dan jatuh berderai.

"Suami mengalunkan azan dan kami ikut serta sebelum gegaran semakin reda dan berhenti sebaik saja azan selesai," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Julie Ezwin (duduk, dua dari kiri) bersama keluarga dan beberapa pelajar menunggu di lapangan terbang, pada Sabtu. - Foto: Instagram colours_and_ezwin.
Julie Ezwin (duduk, dua dari kiri) bersama keluarga dan beberapa pelajar menunggu di lapangan terbang, pada Sabtu. - Foto: Instagram colours_and_ezwin.

Bagaimanapun, Julie Ezwin menerangkan, dia turut merasa sebak dan terharu dengan bantuan pelajar serta komuniti Marrakech yang sudi membantu untuk keluar dari kawasan tersebut selain menghantarnya ke lapangan terbang.

Tambahnya, segala yang berlaku dalam pertemuan itu bagaikan sudah diatur dan tersusun untuk melalui pengalaman menakutkan itu.

“Saya dari United Kingdom, kami pegawai perhubungan awam di sini (Marrakesh). Alhamdulillah kami antara penerbangan awal yang dibenarkan berlepas pulang kerana penerbangan sebelum kami semuanya dibatalkan ekoran gempa bumi ini.

“Lapangan terbang juga terkesan, kami sampai di sana waktu malam tetapi ia ditutup. Kami berdoa supaya ada rezeki dapat pulang segera dan berserah ketika ini.

“Tidak sangka sebenarnya yang saya boleh begitu tenang menghadapi kejadian ini, namun kerana anak-anak pelajar sudah membawa saya ke Makam Awliya Imam al-Jazuli sebelum berlakunya tragedi, saya seolah-olah menerima dengan sangat tenang,” ujarnya.