Ulang tahun TLDM dirai nada berbeza, jangan lupa mereka yang tiada
KUALA LUMPUR - Sambutan Hari UIang Tahun (HUT) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 disambut dengan nada berbeza tahun ini, susulan tragedi helikopter yang mengorbankan10 pegawai dan anggota pasukan itu Selasa lepas.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi catatan di Facebooknya menzahirkan harapan supaya warga TLDM terus cekal, tabah demi rakyat dan tanah air, walaupun berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran.
"Jangan sesekali kita melupakan mereka yang telah pergi meninggalkan kita, bawalah semangat juang, kenanglah jasa dan pengorbanan, ingat mereka dalam setiap doa.
"Begitu juga pejuang-pejuang terdahulu yang telah meninggalkan kita. TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara. Selamat Hari Ulang Tahun ke-90 buat seluruh warga dan veteran TLDM,” katanya.
Ucapan sama turut dititipkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, selain mengucapkan takziah kepada warga TLDM serta keluarga anggota yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak.
"Kepada semua anggota dan pegawai TLDM seluruh negara, terima kasih atas segala jasa, khidmat dan bakti anda dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan perairan negara.
"Salam takziah kepada mereka yang telah kembali kepadaNya. Setiap titik peluh pengorbanan anda amat dihargai dan didoakan akan diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT,” katanya di Facebook.
Zambry yang pernah berkhidmat sebagai bekas wakil rakyat di Pulau Pangkor dan Menteri Besar Perak, mengakui terkesan dengan tragedi itu berikutan kem TLDM Lumut terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Pangkor.
Tragedi pagi Selasa yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!