Ebit Lew boleh saman fitnah jika rasa tidak bersalah - Peguam

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Wan Azliana
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Wan Azliana
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew boleh memfailkan saman fitnah terhadap pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto atas tuduhan melakukan gangguan seksual.

Peguam, Wan Azliana Wan Adnan berkata, Ebit juga telah membuat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan jenayah bagi mengumpul bukti dan menentukan fakta kes tersebut.

“Buat masa sekarang, kedua pihak telah membuat laporan polis dan siasatan terhadap semua pihak yang terlibat mungkin sedang dijalankan.

“Pada masa sama jika betul beliau rasakan dirinya tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut, beliau ada hak untuk failkan saman fitnah kerana ini ialah kes sivil.

“Ketika hari perbicaraan kes nanti, Mondy perlu berada di Malaysia kerana ia telah difailkan di sini,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Ebit yang baru tiba di tanah air dari Jeddah membuat laporan polis berhubung tuduhan Mondy Tatto yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual pendakwah itu ketika kali pertama tiba di Malaysia tahun ini.

Mondy membuat pengakuan sedemikian di dalam podcast khas kendalian penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice pada 11 September lalu.

Jelas Wan Azliana, sekiranya Mondy tidak hadir sewaktu hari perbicaraan kes, ia akan tetap diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebarang siasatan yang dijalankan akan melibatkan semua pihak terlibat untuk tampil memberikan keterangan termasuk Caprice.

Menurutnya juga, Ebit boleh mengambil tindakan dengan memfailkan saman fitnah jika mahu membersihkan namanya daripada tuduhan itu.