Netizen pertikai status gelandangan Mondy Tatto

Ebit bersama Mondy yang sudah berhijrah dengan memakai pakaian Muslimah. - Sumber TikTok Ebit Lew
Ebit bersama Mondy yang sudah berhijrah dengan memakai pakaian Muslimah. - Sumber TikTok Ebit Lew
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna di media sosial memuji seorang wanita bertatu penuh di muka dikenali Mondy Tatto yang berhijab, namun mempertikai status gelandangan individu berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati kebanyakan netizen mempersoalkan status gelandangan wanita dari Indonesia itu apabila mendapati individu berkenaan mempunyai satu juta pengikut di akaun TikTok.

Ramai netizen terkejut apabila mengetahui wanita itu bukanlah seorang gelandangan yang memerlukan bantuan sebaliknya seorang pempengaruh media sosial dan juga model.

"Tengok TikTok pun boleh katakan beratus ribu review dan ada yang 1 juta (pengikut), datang dari mana gelandangannya," soal pengguna akaun Facebook bernama Zailan Zeen.

"Stesen televisyen di sana (Indonesia) selalu ambil dia untuk temu bual. Dia taklah susah sampai merempat tak ada rumah," kata pengguna akaun Facebook bernama Afiah Aznan.

"Dia Tiktokers popular kot. Tak paham macam mana dia jadi gelandangan, semua video dia beratus ribu tontonan," luah pengguna akaun Twitter @sofearozaidi_

"Nak tindik bibir sahaja sudah lebih RM200 kat Malaysia. Berapa banyak tindik dia ada, tatu dan pakai pendakap gigi (braces) lagi. Tak mungkin dia seorang gelandangan," ujar pengguna akaun Twitter @mimialanas.

"Dia gelandangan tetapi mempunyai duit yang banyak untuk buat tatu, pendakap gigi dan warnakan rambut. Dia juga mempunyai 1 juta pengikut di TikTok dan video ini 100 peratus 'scripted'," komen pengguna akaun Twitter @T3L3P47HY.

Selain itu, menjengah ke ruangan komen di TikTok milik Ebit Lew, rata-rata orang ramai memberikan pujian dan mendoakan yang terbaik untuk Mondy yang berubah menjadi lebih baik apabila tampil dengan imej Muslimah.

"Semoga Mondy terus menjadi baik, diberikan kesihatan sihat dan murah rezeki," kata pengguna akaun TikTok bernama Mini.

"Masya-ALLAH...cantik orangnya dan semoga menjadi insan lebih baik serta memberi manfaat kepada insan lain," luah pengguna akaun TikTok bernama Hana Dasuki.

Baru-baru ini pendakwah terkenal, Ebit Lew berkongsi sebuah video berdurasi 1 minit 15 saat di akaun TikToknya ketika berada di Jakarta, Indonesia dengan menghulurkan bantuan kepada seorang ibu tunggal bertatu penuh di muka termasuk mata dipercayai tinggal di jalanan.

Menerusi video tersebut, Ebit dilihat memberikan sedikit wang kepada Mondy selain membelikan pakaian Muslimah kepadanya.

Difahamkan, Mondy berusia 21 tahun itu merupakan ibu tunggal yang menyara seorang anak kecil berumur empat tahun serta dikenali dengan imej gadis ‘punk’ kini sudah berada di Malaysia hasil bantuan daripada Ebit.