11 parti kecil sokong Palang Pracharat

Prayut dijangka mengekalkan jawatannya untuk penggal baharu.
Prayut dijangka mengekalkan jawatannya untuk penggal baharu.
A
A
A

BANGKOK - 11 parti kecil yang memenangi kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum kontroversi pada bulan lalu mengumumkan mereka akan menyokong parti protentera.

Langkah itu dibuat selepas parti pembangkang, Barisan Hadapan Demokratik mendakwa berlaku penyelewengan undi untuk memastikan kemenangan bekas ketua tentera, Prayut Chan-o-cha dalam pilihan raya pertama sejak rampasan kuasa pada 2014.

Pemimpin Parti Ponlamuang Thai, Sampan Lertnuwat semalam berkata, beliau bersama 10 parti lain akan bergabung dengan Palang Pracharat yang menamakan Prayut sebagai calon perdana menteri.

"Selepas berbincang, kami 11 Ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Prayut. Kami juga menyokong Palang Pracharat untuk membentuk kerajaan," kata Sampan.

Sementara itu, Uttama Savanayana yang memimpin Palang Pracharat memaklumkan mereka masih berbincang dengan parti lain untuk memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan.

Bagaimanapun, proses untuk membentuk kerajaan baharu itu dijangka mengambil masa beberapa minggu lagi berikutan kerajaan tentera masih belum selesai melantik 250 anggota Senat yang akan bersama dengan ahli Dewan Perwakilan untuk melantik perdana menteri.

Palang Pracharat telah memenangi 115 kerusi di Dewan Perwakilan dan memerlukan 126 kerusi lagi untuk memperoleh 376 majoriti yang diperlukan.

Barisan Hadapan Demokratik terdiri daripada tujuh parti termasuk Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra pula meraih 245 kerusi. - Agensi

Artikel Berkaitan: