Permohonan lampu di Jalan Gurun-Jeniang telah diusahakan

Tangkap layar menunjukkan laporan Sinar Harian mengenai ketiadaan lampu di Jalan Gurun-Jeniang. Gambar kecil: Abdul Ghani
Tangkap layar menunjukkan laporan Sinar Harian mengenai ketiadaan lampu di Jalan Gurun-Jeniang. Gambar kecil: Abdul Ghani
A
A
A

GURUN - Aduan mengenai laluan gelap akibat ketiadaan lampu dekat Jalan Gurun - Jeniang yang berisiko kemalangan terutama di kawasan selekoh pada waktu malam, telahpun diajukan kepada pihak berkuasa.

Pegawai Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Abdul Ghani Abdul Rahim berkata, permohonan berhubung kemudahan asas di laluan berkenaan telah pun dihantar ke agensi berkaitan.

Menurutnya, ia merangkumi lampu jalan berdekatan Kampung Batu Tiga dan sepanjang laluan gelap dan sunyi sehingga ke Batu 10.

"Kita memahami masalah dihadapi pengguna jalan itu, setakat ini, kita dah hantar permohonan berhubung permintaan kemudahan asas ini dan tengah tunggu maklum balas seterusnya," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, jalan gelap dan sunyi yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Difahamkan, jalan yang dibina kira-kira 15 tahun lalu itu menjadi gelap gelita terutama ketika melalui kawasan yang tiada perkampungan penduduk.

Beberapa pengguna turut mengakui pernah terserempak dengan haiwan liar antaranya babi, anjing dan kucing yang kemungkinan keluar dari kawasan ladang secara tiba-tiba.

Tinjauan juga mendapati terdapat papan tanda amaran 'Awas Kawasan Kemalangan' yang diletakkan di situ namun tiada lampu jalan yang dipasang di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan kawasan gelap dan sunyi, terdapat pengguna yang mengaitkan beberapa kejadian yang pernah berlaku di laluan berkenaan dengan perkara karut dan mistik.