Polis terima laporan kes pukul libatkan pelajar Tingkatan Satu

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipercayai dipukul dan ditendang pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Nerus.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian melibatkan pelajar Tingkatan Satu itu dilaporkan berlaku dalam kawasan sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis.

Katanya, berdasarkan laporan mangsa yang juga pengadu mendakwa berada di bengkel sekolah tersebut sebelum didatangi tiga pelajar lelaki yang bertanyakan di mana rakan mangsa.

"Difahamkan suspek bertanyakan mengenai seorang rakan pengadu kerana mahu memukul pelajar berkenaan.

"Pengadu kemudian memberitahu tidak pasti di mana kawannya itu berada dan meminta suspek beredar serta tidak memukul di kawasan sekolah.

"Suspek bagaimanapun bertindak memukul dan menendang pada bahagian muka dan badan pengadu sebelum beredar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, insiden itu disedari oleh guru sekolah tersebut yang terjumpa pengadu di bengkel berkenaan sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu tular video berdurasi 18 saat di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki yang dibawa untuk mendapatkan rawatan dipercayai akibat dipukul.